130kg daun ketum gagal diseludup

Kira-kira 30kg daun ketum bernilai RM12,350 dirampas di sempadan negara di Tanah Merah.
Kira-kira 30kg daun ketum bernilai RM12,350 dirampas di sempadan negara di Tanah Merah.
A
A
A

KOTA BHARU - Hasrat enam lelaki menyeludup 130kg daun ketum ke negara jiran gagal apabila diserbu Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) di pangkalan haram Nurut di Kampung Jedok, Tanah Merah semalam.

Serbuan dilakukan pasukan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) pada Operasi Benteng pada jam 10 malam.

Bagaimanapun, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hasan berkata, keenam-enam lelaki terbabit meloloskan diri, namun pihak berkuasa berjaya merampas lapan bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi 399 bungkusan kecil berisi daun ketum.

“Mereka ditahan selepas pasukan yang melaksanakan pemantauan di lokasi panas laluan penyeludupan melihat mereka melalui kelibat cahaya lampu tiga motosikal yang berhenti di kawasan terbabit.

“Mereka mendapati enam lelaki berada di atas motosikal sambil membawa bungkusan plastik berwarna hitam. Kesemua mereka kemudian bertindak melarikan diri dengan motosikal ke kawasan semak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketum yang dirampas bernilai RM12,350 selain dua motosikal jenis Honda C70 dan Honda Scoopy bernilai RM7,700 turut dirampas menjadikan keseluruhan bernilai RM20,050.

"Barang rampasan diserahkan kepada pihak polis dan kes dicatatkan kali kedua bulan ini. Kejadian menunjukkan ada sindiket penyeludupan daun ketum untuk dipasarkan ke Thailand berikutan permintaan yang tinggi di negara itu.

“Saya mohon kepada penduduk tempatan untuk terus memberi sokongan kepada kami dengan menyalurkan maklumat jenayah rentas sempadan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi menjamin kedaulatan serta keselamatan negara,” katanya,

Artikel Berkaitan: