X

Kindly register in order to view this article
!

Hamdi Rich sasar keluarkan 20 produk OEM baharu

Farizan dan anaknya, Fatin Husna menunjukkan rangkaian produk Hafana yang dikeluarkan oleh Hamdi Rich di Alor Setar, Kedah.
A
A

PENGELUAR rangkaian produk berasaskan herba berjenama Hafana, Hamdi Rich Sdn Bhd (Hamdi Rich) mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan perniagaannya dengan meneroka segmen pengeluaran produk tulen (OEM) khusus untuk pasaran tempatan.

Pengasasnya, Farizan Zakaria atau dikenali sebagai Pak Long Hafana berkata, permintaan tinggi terhadap produk OEM dengan pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah memberangsangkan, sekali gus menjadikannya peluang perniagaan yang baik kepada syarikat.

Menurutnya, sebanyak 35 syarikat telah menghasilkan produk OEM bersama Hamdi Rich seperti produk minuman dan jus dengan pelbagai jenis pembungkusan seperti botol dan paket.

“Sebanyak 70 peratus daripada syarikat OEM menghasilkan produk minuman berasaskan koko, kopi, teh, barli dan soya manakala selebihnya menghasilkan jus kesihatan,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Beliau berkata, walaupun masih baharu dalam segmen OEM, sebanyak lima syarikat terlibat menumpukan kepada pasaran tempatan telah menjana pendapatan tujuh angka, sekali gus membuktikan Hamdi Rich sebagai pengeluar produk OEM yang dipercayai.

“Dengan pengalaman hampir 12 tahun dalam industri penghasilan makanan berasaskan herba dan minuman dan jus, kami terus menawarkan produk yang berkualiti dan memenuhi kehendak semua pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, Hamdi Rich menyasarkan untuk berkolaboratif bersama 20 syarikat baharu untuk menghasilkan pelbagai jenis produk minuman dan jus menjelang akhir tahun ini.

Katanya, sehingga Jun 2020, pihaknya telah menerima enam syarikat baharu yang berminat untuk bekerjasama dengan Hamdi Rich.

Jana pendapatan RM1 juta

“Syarikat juga mengunjurkan untuk melahirkan lima lagi usahawan OEM menjana pendapatan sehingga RM1 juta pada tahun ini.

“Saya berkeyakinan sasaran ini mampu dicapai berikutan beberapa produk yang kami hasilkan menjadi pilihan utama dalam pasaran,” katanya.

Tambahnya, syarikatnya yang terletak di Kompleks Perniagaan Taman Kasih, Kuala Sungai, Alor Setar, Kedah itu telah menghasilkan dua tan metrik produk minuman atau jus dalam sehari.

Hamdi Rich terlibat dalam segmen OEM sejak 2015 dengan membantu usahawan yang berminat untuk mengeluarkan produk menggunakan jenama sendiri.

“Bermodalkan RM2,000 mereka boleh mempunyai produk sendiri dengan kami,” katanya yang turut mengikuti pelbagai latihan dan kursus dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Sirim Berhad serta agensi kerajaan lain.

Farizan berkata, untuk memantapkan usahawan, syarikat turut berkolaboratif dengan Kolej Komuniti Bandar Darul Aman bagi mewujudkan Akademi Hafana yang telah melahirkan 140 usahawan alumni.

“Akademi Hafana ditubuhkan untuk membantu dan mengajar usahawan menghasilkan pelbagai jenis produk seperti sabun, syampu, minyak wangi.

“Seramai 23 usahawan telah berjaya menghasilkan produk yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Hamdi Rich merancang untuk melahirkan lebih ramai usahawan baharu secara berperingkat menjelang akhir tahun 2020.

Produk berasaskan herba

Selain menerajui penghasilan produk OEM di utara Semenanjung Malaysia, Farizan juga menumpukan perhatian kepada perniagaannya dengan mengeluarkan produk berasaskan herba berjenama Hafana, sekali gus terlibat dalam bidang pembangunan dan penyelidikan produk.

Menurutnya, Hafana terkenal dengan produknya Vitagrac selain mempunyai 17 rangkaian produk termasuk produk minuman sedia untuk diminum (RTD), pencuci dikenali sebagai Tonyoh dan sebagainya.

“Terdapat beberapa produk yang mendapat permintaan tinggi seperti Kokoha, Kopi Sumac, Tigo Malt dan Teh Sumac yang mencatatkan jualan sebanyak 70,000 unit sebulan. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), produk Kopi Sumac mencatatkan jualan 40,000 unit.

“Saya menyasarkan jualan keseluruhan produk ini mencecah 100,000 unit sebulan sebelum akhir tahun ini. Sasaran ini mampu dicapai kerana strategi syarikat untuk menambah bilangan ejen kepada 500 orang dan memfokuskan kepada pemasaran digital yang agresif selain penjenamaan produk,” katanya.

Katanya, syarat menjadi ejen Hafana dengan bermodalkan RM120 sahaja dan memperoleh empat bungkus Kopi Sumac dan mereka yang berminat boleh menghubungi Hamdi Rich di talian 016-3884819 dan melayari www.myhafana.com.my.

Farizan yang berpengalaman dalam bidang perniagaan sejak 2005 mula menghasilkan jenama Hafana pada tahun 2008.

Beliau kini merancang mengeluarkan lima produk baharu menjelang hujung akhir tahun ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus