Jho Low terlibat dalam rancangan 1MDB

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1MDB hari ini.
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1MDB hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengesahkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho ahli atau Jho Low terlibat dalam rancangan 1MDB pada 2012.

Shahrol Azral berkata, ia bagi mendapatkan loji janakuasa Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dengan harga RM10.6 bilion.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohamed yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB dan pengubahan wang haram, Shahrol Azral berkata, Jho Low mencadangkan bank pelaburan, Goldman Sachs untuk bertindak sebagai penasihat kewangan untuk tawaran 1MDB sebanyak RM10.6 bilion tersebut.

Shahrol Azral juga mengakui bahawa surat pelantikan bertarikh 7 Februari 2012 dikeluarkan sebagai pengesahan lantikan Goldman Sachs sebagai penasihat kewangan 1MDB yang mana ia adalah sehari sebelum mesyuarat Ahli Lembaga 1MDB diadakan.

Beliau juga berkata, meskipun pelantikan dibuat sehari sebelum mesyuarat diadakan, namun Goldman Sachs memulakan kerja beberapa bulan lebih awal daripada perjanjian.

Wan Aizuddin: Adakah Jho Low bertindak seperti seorang broker?

Shahrol Azral: Tidak, Jho Low bertindak lebih kepada fasilitator antara pihak yang berkepentingan.

Wan Aizuddin: Adakah Datuk maklum kepada ahli lembaga dalam mesyuarat pada 8 Februari 2012 bahawa Jho Low mencadangkan supaya Goldman Sachs dijadikan sebagai penasihat kewangan 1MDB?

Artikel Berkaitan:

Shahrol Azral: Tidak, kerana nama Jho Low tidak boleh disebut dalam mesyuarat ahli lembaga.

Wan Aizuddin: Kenapa?

Shahrol Azral: Sejak awal lagi, Jho Low memberitahu saya, penglibatannya tidak perlu diumumkan demi melindungi Datuk Seri Najib.

Wan Aizuddin: Saya katakan pada Datuk, alasan Datuk tidak sebut nama Jho Low kerana Datuk bersekongkol untuk mendapatkan imbuhan ini sekiranya pemerolehan ini berjaya dilakukan oleh Goldman Sachs.

Bagaimanapun, Shahrol Azral berkata tidak bersetuju dengan cadangan yang diutarakan oleh Wan Aizuddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah disambung esok.