Kerajaan diminta lanjut tempoh moratorium: Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mempertimbangkan lanjutan tempoh moratorium pinjaman atau pembiayaan selama enam bulan lagi, kata bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan individu dan perniagaan mempunyai masa lebih panjang untuk menyusun semula kewangan mereka.

“Ini berikutan ekonomi ini sedang mengalami kelembapan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang mengakibatkan rakyat kehilangan pekerjaan,” katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau juga memohon kerajaan mendedahkan kedudukan imbangan akaun semasa.

“Saya mohon kerajaan memaklumkan berapa imbangan akaun semasa kita, sama ada defisit atau lebihan, selepas pendapatan (income) negara menjunam akibat (kesan pandemik) Covid-19,” katanya.

Guan Eng (PH-Bagan) berkata, kerajaan perlu mengimbangi perbelanjaan negara khususnya ketika menghadapi tempoh krisis.

“Pada suku pertama 2020, pendapatan negara (country’s income) susut kira-kira 29 peratus kepada RM45.3 bilion dan defisit fiskal dijangka meningkat kepada enam peratus,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan perbelanjaan bertambah dan pendapatan berkurangan, kerajaan perlu menyemak Belanjawan 2020.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan sebelum ini mengumumkan beberapa pakej rangsangan ekonomi iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion dan Prihatin Tambahan pula RM10 bilion untuk mengurangkan kesan Covid-19 selain Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan peruntukan RM35 bilion bagi membangunkan semula ekonomi tempatan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilaporkan sebelum ini berkata, defisit fiskal tahun ini dijangka meningkat hampir sekali ganda dan pada masa sama mengekalkan pilihan untuk menaikkan siling hutang awam.

Dalam persekitaran ketidaktentuan global, penanda aras harga minyak mentah dunia, Brent pada satu ketika susut kepada paras di bawah S$20 setong berikutan permintaan yang lemah.

Belanjawan 2020 Malaysia dirangka berdasarkan andaian harga minyak mentah secara purata berada pada AS$62 setong.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) pula mencadangkan kerajaan meningkatkan pelaburan domestik untuk merancakkan lagi ekonomi tempatan pasca-Covid-19.

Beliau berkata, langkah yang sama pernah diambil kerajaan semasa menghadapi krisis kewangan sebelum ini seperti pada 1998-1999.

“Pada ketika ini, pelaburan swasta mengalami penurunan. Oleh itu, penting untuk kerajaan meningkatkan pelaburan domestik,” katanya. - Bernama