Hanya dua penghuni aktif bayar sewa PPRT

Muhammad Sanusi ketika sidang akhbar di Pejabat Daerah Kuala Muda, Sungai Petani selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini.
Muhammad Sanusi ketika sidang akhbar di Pejabat Daerah Kuala Muda, Sungai Petani selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Hanya dua daripada kira-kira 1,400 penghuni Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Paya Nahu di sini yang aktif membuat bayaran sewa bulanan rumah mereka.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, satu jawatankuasa khas dianggotai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah yang berlarutan lebih 10 tahun itu.

Menurutnya, antara isu yang akan diambil perhatian termasuk masalah penempatan, kemasukan penghuni tanpa kebenaran, masalah sosial dan penagihan dadah.

"Kita tiada rekod penduduk kerana ada rumah diduduki secara tidak sah. Selain itu terdapat banyak kerosakan membabitkan sistem perpaipan selain penyambungan bekalan air dan elektrik yang diubah suai secara haram.

"Isu ini berlarutan sejak berbelas-belas tahun tanpa penyelesaian. Saya harap dengan penubuhan jawatankuasa ini kita dapat menyelesaikan masalah yang berlaku. Difahamkan hanya dua penghuni sahaja yang aktif menyelesaikan sewa mereka," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, jawatankuasa khas itu akan melaksanakan proses pemutihan secara besar-besaran merangkumi pelbagai agensi.

Paya Nahu fasa 1 dibina pada tahun 1990 membabitkan 400 buah rumah, manakala Paya Nahu fasa 2 dibina pada 2004 dengan jumlah kira-kira 1,000 buah rumah.

Dalam perkembangan berlainan, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan projek pemulihan Pantai Merdeka membabitkan kos sebanyak RM12 juta bagi mengatasi isu hakisan pantai di lokasi peranginan itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan wujudkan kembali dataran pantai supaya dapat dijadikan lokasi beriadah yang selesa kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata, projek yang dijangka bermula tahun hadapan itu mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Muhammad Sanusi menyerahan wang sagu hati persaraan pegawai masjid tahun 2018 kepada 85 orang pegawai masjid seluruh Kedah berjumlah RM308,850.