KRM batal tiga kejohanan utama

Terengganu juara Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019. -Foto: KRM
Terengganu juara Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019. -Foto: KRM
A
A
A

IMPIAN peminat tempatan untuk menyaksikan arena ragbi tempatan kembali rancak tidak kesampaian apabila Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) memutuskan membatalkan tiga kejohanan utama iaitu Kejuaraan Ragbi Piala Agong, Kejuaraan 7 Sepasukan Kebangsaan dan Liga Ragbi Malaysia 2020 (MRL) musim ini.

Menurut KRM, status tiga kejohanan utama itu dibatalkan selepas mendapat persetujuan dalam kalangan ahli gabungan selepas Mesyuarat Exco KRM yang telah berlangsung pada Isnin lalu.

"Bagi penganjuran kejohanan utama seperti seperti Kejuaraan Ragbi Piala Agong, Kejuaraan 7 Sepasukan Kebangsaan dan Liga Ragbi Malaysia 2020, KRM perlu mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada ahli gabungan KRM berhubung dengan kesiapsiagaan untuk menyertai kejohanan.

"Hasil maklum balas yang telah diterima dari ahli gabungan maka KRM membuat keputusan untuk tidak menganjurkan sebarang kejohanan sehingga 31 Disember depan.

"KRM juga setelah mendapatkan penjelasan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) bahawa kejohanan yang berbentuk karnival seperti Kejohanan 7 dan 10 Sepasukan adalah tidak dibenarkan buat masa ini sehingga diberitahu kelak. Sebarang kejohanan yang telah mendapat kelulusan ‘sanction’ oleh KRM sebelum ini adalah dibatalkan," katanya.

Sementara itu, KRM masih menunggu pengumuman rasmi pihak Asia Rugby berhubung dengan sebarang kejohanan anjuran badan induk ragbi Asia itu selepas September depan sama ada diteruskan atau dibatalkan.

"Setakat ini kami belum boleh putuskan apa-apa mengenai status kejohanan tempatan kerana banyak faktor yang perlu diambil kira antaranya pendirian World Rugby dan Asia Rugby.

"Asia Rugby contohnya telah buat keputusan tiada kejohanan sehingga September yang mana kejohanan seterusnya hanya akan diputuskan pada September," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun KRM memaklumkan bahawa ahli gabungan dibenarkan menganjurkan liga negeri 15 sepasukan dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan KRM seperti contoh tanpa kehadiran penonton dan penyokong.

"KRM juga membenarkan kursus-kursus dijalankan dengan mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN, KBS dan KRM.

"KRM akan menyediakan SOP Sukan Ragbi kepada semua ahli gabungan negeri termasuk ATM dan PDRM. Manual SOP tersebut juga akan diberikan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya.