X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga sekolah ditutup akibat banjir

Zaimi (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada salah seorang murid ketika lawatan pemantauan pembukaan semula sekolah di SK Teruntum di Kuantan semalam.
A
A

KUANTAN - Seramai 123 pelajar Tahun Lima dan Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Chengar Perah dan SK Aur Gading, Kuala Lipis tidak dapat memulakan sesi persekolahan semula semalam apabila dua sekolah berkenaan ditutup akibat banjir.

Turut terjejas, seramai 18 murid dari kelas prasekolah di kedua-dua sekolah terbabit.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Zaimi Abu Bakar, berkata SK Chengar Perah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, seramai 268 mangsa daripada 68 keluarga mangsa banjir ditempatkan di PPS SK Chegar Perah semalam.

"SK Aur Gading pula ditutup berikutan laluan ke sekolah terbabit ditenggelami air. Sekolah itu bagaimanapun dijangka akan dibuka esok (hari ini) sekiranya keadaan mengizinkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir ke SK Teruntum bersama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sempena pembukaan semula sekolah.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Abdul Aziz Salleh.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan semua sekolah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Semua pelajar juga nampak gembira. Guru-guru pun bersemangat dengan pembukaan sekolah hari ini. Jadi kita harap sesi persekolahan di semua sekolah berjalan lancar," katanya.

Seramai 44,038 murid sekolah rendah dan 89,600 pelajar sekolah menengah di Pahang hadir bagi memulakan sesi persekolahan hari ini.

Sementara itu di JOHOR, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya di Muar tidak dapat dibuka semalam kerana dijadikan PPS mangsa banjir.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, SK Sungai Raya adalah antara 15 sekolah yang dijadikan PPS namun 14 daripadanya beroperasi seperti biasa semalam.

"Daripada 14 sekolah itu, sembilan sekolah rendah dan lima sekolah menengah yang dijadikan PPS di daerah Muar, Batu Pahat, Pontian dan Tangkak.

"Hasil pemantauan di sekolah yang dibuka hari ini (semalam), saya lihat pihak sekolah mengikut SOP dengan baik dan semuanya terkawal.

"Sesi persekolahan juga berjalan seperti biasa dan tiada sistem penggiliran," katanya selepas melakukan tinjauan di SK Bandar Baru Uda 2 di sini semalam.

Terdahulu, seramai 378,275 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di seluruh Johor memulakan sesi persekolahan hari ini.

Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan terhadap kesiapsiagaan banjir di mana semua agensi dan jabatan kerajaan terlibat sudah bersiap sedia dari segi aset dan anggota.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!