Aset Yayasan Selangor perlu dijual: MB

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Sebahagian aset Yayasan Selangor perlu dijual berikutan kedudukan kewangannya dilihat tidak sihat dan memerlukan suntikan dana walaupun beberapa usaha dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah penstrukturan semula turut dilaksanakan kerajaan negeri bagi menyelesaikan bebanan hutang penyewaan dan pengajian ditanggung Yayasan Selangor berjumlah RM34 juta sejak tahun 1990.

Menurutnya, pendapatan Yayasan Selangor pada tahun lalu juga adalah berjumlah RM17.1 juta, namun kos perbelanjaan operasi yang perlu ditanggung adalah berjumlah RM27.68 juta.

"Simpanan tetap untuk awal 2019 adalah RM7.8 juta namun selepas proses penambahbaikan dan pelarasan dilaksanakan, jumlah itu meningkat kepada RM11.6 juta.

"Kita perlu sedari (masalah dibawa) legasi lampau inilah yang perlu diselesaikan," katanya sewaktu menggulung Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Semalam, barisan pembangkang Selangor menerusi satu sidang media di Bangunan Annex membantah tawaran penjualan aset oleh Yayasan Selangor.

Ketua pembangkang Selangor, Rizam Ismail (BN-Sungai Air tawar) berkata, apa jua tindakan penjualan aset harus dibuat secara rasional dengan justifikasi yang munasabah.

Amirudin (PH-Sungai Tua) berkata, kos pentadbiran dan pengurusan beberapa aset milik Yayasan Selangor yang tinggi juga menjadi antara faktor penyebab langkah tersebut perlu diambil.

Artikel Berkaitan:

"Kos pentadbiran dan pengurusan untuk setahun aset-aset ini adalah RM2.9 juta namun hasil sewaan yang diperoleh hanyalah RM123,000.

"Kerajaan negeri dah bertahun cuba untuk pulihkan namun tak boleh dan disebabkan itu kita terpaksa jual sebahagian aset-aset ini," katanya.

Katanya, Kerajaan Selangor turut bercadang untuk memindahkan bangunan Yayasan Selangor di Petaling Jaya ke Shah Alam selepas ini yang dianggap sebagai ibu negeri Selangor.

"Pengurusan yayasan ini adalah di Shah Alam dan disebabkan itu kita mempunyai perancangan untuk memindahkannya selepas ini," katanya.