Ahli politik senior gagal bebas diri daripada kepompong kepartian

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menjadi panelis Wacana 179 bertajuk Politik Malaysia: Sejauh mana suara anak muda didengari? di Studio F, Karangkraf di sini malam tadi.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menjadi panelis Wacana 179 bertajuk Politik Malaysia: Sejauh mana suara anak muda didengari? di Studio F, Karangkraf di sini malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan insiden beliau dipersenda dan diejek ketika bangun untuk menyatakan pandangan pada Sidang Dewan Rakyat kelmarin memberi gambaran bahawa ahli politik senior di negara ini gagal membebaskan diri mereka daripada kepompong politik kepartian.

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu berkata, ketaksuban terhadap politik kepartian itu menyebabkan segelintir ahli politik yang sudah berusia tidak dapat melihat kepada satu titik tengah pertemuan untuk blok kerajaan dan pembangkang membina negara bersama.

Menurutnya, insiden itu dianggap sebagai suatu perkara yang agak memalukan dan memualkan.

"Ada hikmah di sebalik yang berlaku itu. Saya harap lebih ramai anak muda tampil ke hadapan, jangan kerana sindiran dan ejekan sebegini kita menjauhkan diri.

"Sepatutnya kita perlu lebih aktif dan bersemangat untuk mengambil alih landskap politik negara supaya akhirnya kita dapat membersihkan budaya politik sebegini," katanya selaku panelis Wacana 179 bertajuk Politik Malaysia: Sejauh mana suara anak muda didengari? di Studio F, Karangkraf di sini malam tadi.

Wacana yang dikendalikan Moderator, Azlan Shah Nabees Khan itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Exco Penerangan Ameerah Malaysia, Mardhiyyah Johari dan penganalisis politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh.

Insiden Syed Saddiq dipersenda beberapa ahli Parlimen senior itu berlaku semasa Sidang Dewan Rakyat hari pertama ketika beliau bangun untuk mencelah dalam perbahasan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ianya menjadi bualan ramai dan 'trending' di Twitter iaitu di tangga kedua selepas tanda pagar Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, senario yang berlaku itu jauh berbeza dengan sidang Parlimen belia dan Parlimen digital yang dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini ketika beliau menerajui kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

"Debat-debat yang diadakan dalam sidang Parlimen belia dan digital itu begitu baik dan berkualiti berasaskan fakta yang dibawa anak-anak muda," katanya.

Berikutan itu, Syed Saddiq menegaskan, anak muda perlu diberikan peluang yang lebih besar menerusi kewujudan barisan kepimpinan anak muda yang lebih segar kerana tampil dengan idea-idea baharu untuk merombak sistem demokrasi negara.

Katanya, beliau bersetuju dengan tanda pagar #masakita yang merujuk kepada gelombang kebangkitan suara anak muda dalam media sosial agar mereka diberikan tempat dalam arena politik negara.

"Saya katakan begini kerana jika kita mengharapkan pimpinan muda yang ada sekarang, ia tidak mencukupi kerana kita perlu menjawab dengan kepimpinan lebih tua. Akhirnya ada beberapa isu yang perlu kita berkompromi serta sedikit demi sedikit perkara mustahak tentang anak muda terpaksa ditinggalkan di belakang.

"Saya rasa rakyat Malaysia secara keseluruhannya sudah bersedia dengan kepimpinan lebih muda. Kita tidak boleh dibayangi oleh kepimpinan politik yang mungkin telah bertapak di Malaysia puluhan tahun. Sudah tiba masanya untuk kita gembleng tenaga ini bersama," katanya.

Menurutnya, pemimpin muda boleh mengambil nasihat dan belajar dari pengalaman pemimpin senior tetapi mereka tidak boleh menjadi 'pak turut' sahaja dan perlu menyampaikan pendirian sendiri.

Syed Saddiq berkata, keadaan politik sekarang menjadi waktu sesuai untuk lebih ramai ahli politik muda diketengahkan dalam sebuah parti politik baharu.

Katanya, parti itu tidak semestinya eksklusif kepada anak muda tetapi bercorakkan kepimpinan anak muda.

"Saya beri contoh The Future Forward Party (FFP) di Thailand yang dipimpin dua anak muda yang ditubuhkan kurang setahun dari Pilihan Raya Umum (PRU) negara itu tetapi dah hampir berjaya menjatuhkan kerajaan tentera di negara itu.

"Ada banyak lagi contoh lain parti yang bukan eksklusif anak muda sahaja tetapi bercorak kepimpinan anak muda. Isu-isu yang dibangkitkan amat dekat dengan hati anak muda.

"Barisan yang diketengahkan adalah yang dipimpin anak muda yang ideanya lebih segar dan akhirnya dapat membawa perubahan politik yang lebih mendalam dan tidak lagi dibayangi figura politik sama sahaja," katanya.