Pelajar Tingkatan Tiga suspek curi motosikal

No Image Caption
A
A
A

KULIM - Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah sekolah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam satu kes curi motosikal yang dilaporkan hilang di kawasan Hi-Tech, dekat sini tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulim yang membuat Ops Motosikal di jalan utama Taman Puteri, Padang Serai kira-kira jam 5 petang sehingga 9 malam semalam.

Katanya, ketika ditahan suspek sedang duduk di atas motosikal jenis honda EX5 di tepi jalan bersama beberapa rakannya yang lain.

"Apabila menyedari kehadiran polis, suspek terus melarikan diri dengan memecut ke arah Taman Lagenda dan anggota polis mengekorinya sejauh 500 meter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, semasa ditahan, suspek bersikap agresif tetapi berjaya ditenangkan anggota polis.

"Semakan polis mendapati motosikal itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan suspek juga terlibat dalam satu kes curi motosikal yang dilaporkan hilang di kawasan Hi-Tech tahun ini," katanya.

Azhar memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, lebih 130 motosikal telah diperiksa dan 103 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melalui Ops Motosikal tersebut.

Artikel Berkaitan: