ADUN Slim meninggal dunia

Mohd Khusairi Abdul Talib
Mohd Khusairi Abdul Talib
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib disahkan meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang akibat serangan sakit jantung.

Difahamkan, Mohd Khusairi pengsan dan tidak sedarkan diri ketika bermain golf di sebuah resort di Genting Highlands pada jam 2.40 petang.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Bentong sebelum disahkan meninggal pada jam 4.15 petang.

Berita mengenai Mohd Khusairi itu turut disahkan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang turut berada di hospital berkenaan bagi membantu menguruskan jenazah.

Menurut Saarani, pemergian Mohd Khusairi merupakan kehilangan besar kepada UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakyat khususnya di Tanjung Malim.

"Saya bagi pihak UMNO dan BN Perak mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Datuk Khusairi Abdul Talib atas pemergian beliau ke rahmatullah petang tadi (semalam).

"Jasa dan pengorbanan beliau untuk terus kekal bersama UMNO dan BN di saat kita kehilangan kuasa menunjukkan komitmen Allahyarham terhadap kebajikan dan kepentingan rakyat," katanya menerusi satu kenyataan media semalam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, beberapa mesej mengenai kematian Mohd Khusairi turut tular di laman sosial selain beberapa pemimpin politik dan individu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Sementara itu, jenazah Mohd Khusairi dibawa ke rumah ibunya di Felda Sungai Behrang, Slim River malam ini dan dijangka akan disolatkan di Masjid Felda Sungai Behrang jam 9 pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang.