Covid-19: Lima kes baharu direkodkan


DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

PUTRAJAYA - Terdapat lima kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan hari ini terdiri daripada empat kes penularan tempatan dan satu jangkitan luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 meningkat kepada 8,734 kes.

"Daripada empat kes penularan di dalam negara, satu melibatkan warga asing yang disaring selepas bergejala.

"Dia kemudiannya dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak," katanya.

Menurutnya, dua kes membabitkan rakyat tempatan dikesan di Sarawak.

"Satu kes merupakan kontak rapat kepada pesakit ke-8,732 dan satu saringan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan.

"Satu kes lagi dikesan di Selangor dalam saringan pra pembedahan di Hospital Sungai Buloh," katanya.

Beliau berkata, jumlah kes aktif yang sedang menerima rawatan adalah 86 kes.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak lima kes dirawat di unit rawatan rapi dan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian kekal pada 122 kes.

"Tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan," katanya.

Menurutnya, dua kes telah pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Justeru jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 8,526 kes iaitu 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.