X

Kindly register in order to view this article
!

Sembunyi dadah dalam seluar dalam

Tujuh suspek yang positif dadah jenis morphine di bawa ke balai IPD Hulu Terengganu semalam untuk siasatan lanjut. - Foto Ihsan IPD Hulu Terengganu
A
A

HULU TERENGGANU - Helah seorang lelaki menyembunyikan dadah jenis heroin di dalam seluar dalam dipakainya tidak menjadi apabila dia ditahan di sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin ( PPRT) di Kampung Durian Bador, Kuala Berang di sini kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 1 pagi dilakukan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu susulan maklumat dan risikan wujudnya aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di lokasi terutama pada waktu malam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ketika serbuan, lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai baru melepaskan gian bersama enam rakan di dalam rumah tersebut.

Menurutnya, kesemua lelaki berusia 28 hingga 49 tahun itu sedang berkumpul di ruang tamu rumah, masing-masing dalam keadaan khayal sehingga langsung tidak menyedari kehadiran anggota polis.

"Ketika pemeriksaan badan dilakukan, seorang suspek dari Kampung Lubuk Pahit di sini umpama 'cacing kepanasan' seperti menyorokkan sesuatu.

"Pemeriksaan lanjut terus dilakukan sebelum menjumpai sebotol plastik lutsinar bertudung kuning berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin yang disembunyikan dalam seluar dalam yang dipakainya.

"Pemeriksaan seterusnya dilakukan ke atas rakan suspek berusia 35 tahun dari Kampung Durian Bador Tersat di sini sebelum menjumpai sebekas berisi dadah jenis syabu di dalam beg silang di bahunya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Adli berkata, polis turut menjumpai satu tiub straw lutsinar berjalur biru dan merah berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu yang diletakkan di atas lantai di ruang tamu rumah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morphine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(3) ADB 1952," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus