X

Kindly register in order to view this article
!

Komander PPM tolak tawaran bersekongkol dengan sindiket migran

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) SAC Mohd Yusoff Mamat (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas jawatan Komander PPM Wilayah Dua (W2) antara Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad (kiri), yang akan bersara wajib esok kepada Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah di Markas PPM W2 Tampoi, hari ini. Foto: Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Komander Pasukan Polis Marin (PPM), Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat mengakui pernah ditawarkan untuk bersekongkol dengan sindiket melakukan aktiviti penyeludupan migran.

Beliau bagaimanapun menolak dengan tegas malah tidak akan sekali-kali berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan aktiviti tersebut.

"Syukur Alhamdulillah, Tuhan tidak izinkan (saya) tidak jumpa dengan kumpulan (sindiket) ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbarisan dan Majlis Serah Terima Tugas Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Pengerusi Perkep Pasukan Polis Marin Wilayah Dua dan Komanden Pusat Latihan Marin (Pulamar) di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi di sini hari ini.

Penyerahan jawatan Komander PPM Wilayah Dua dilakukan daripada Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad, 60, yang bersara wajib pada esok kepada Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah, 52.

Pada 4 Jun lalu polis menangkap 40 suspek utama yang menjadi dalang penyeludupan migran di pantai timur Johor melibatkan ejen mengurus keluar masuk migran, menguruskan pengangkutan, tekong darat, tekong laut dan penjaga rumah penampungan.

Susulan itu 24 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ditahan dari 13 hingga 18 Jun lalu disusuli serbuan pada 23 dan 25 Jun serta 1 Julai kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran dan dadah.

Mohd Yusoff seterusnya memberi amaran kepada anggota atau pegawai PPM yang bersekongkol dengan kegiatan itu akan dikenakan tindakan tegas.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada sindiket penyeludupan bahawa kegiatan mereka sentiasa diawasi dan sehingga kini lebih 10 sindiket telah pun diambil tindakan.

Beliau memberitahu, senarai sindiket yang aktif dalam kegiatan sama juga berada dalam senarai PPM dan sudah disalurkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) polis setiap negeri untuk tindakan lanjut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf