Jumlah penduduk Malaysia 32.7 juta

Kadar pertumbuhan warganegara kekal stabil pada 1.1 peratus dengan jumlah penduduk meningkat daripada 29.4 juta pada 2019 kepada 29.7 juta tahun ini.
Kadar pertumbuhan warganegara kekal stabil pada 1.1 peratus dengan jumlah penduduk meningkat daripada 29.4 juta pada 2019 kepada 29.7 juta tahun ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penduduk Malaysia tahun ini dianggarkan berjumlah 32.7 juta orang berbanding 32.5 juta pada 2019 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 0.4 peratus.

Menurut penerbitan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2020, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan kadar pertumbuhan penduduk itu disebabkan oleh pengurangan bilangan penduduk bukan warganegara daripada 3.1 juta tahun lepas kepada 3.0 juta pada 2020.

“Ini selaras dengan penutupan sempadan kita dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penyebaran pandemik Covid-19 di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata, kadar pertumbuhan warganegara kekal stabil pada 1.1 peratus dengan jumlah penduduk meningkat daripada 29.4 juta pada 2019 kepada 29.7 juta tahun ini.

Tahun ini, beliau berkata penduduk lelaki melebihi jumlah perempuan dengan masing-masing sebanyak 16.8 juta dan 15.9 juta, dan nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Mohd Uzir berkata, penerbitan itu juga melaporkan bahawa peratus penduduk berusia 0 hingga 14 tahun (umur muda) menurun kepada 23.3 peratus berbanding 23.5 peratus pada 2019.

Peratus keseluruhan bagi penduduk 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) juga menurun daripada 69.8 peratus pada 2019 kepada 69.7 peratus pada 2020, katanya.

“Ini berikutan jumlah penduduk bukan warganegara yang lebih rendah, kebanyakannya terdiri daripada pekerja asing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Uzir, peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas (umur tua) meningkat daripada 6.7 peratus kepada 7 peratus pada tempoh sama.

“Umur penengah juga meningkat daripada 28.9 tahun pada 2019 kepada 29.2 tahun, tahun ini,” katanya.

Mohd Uzir berkata, Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada 2030 dengan peratusan penduduk berumur 60 tahun ke atas adalah 15.3 peratus.

Tiga negeri dengan komposisi penduduk tertinggi pada 2020 adalah Selangor (20 peratus) diikuti Sabah (12 peratus) dan Johor (11.6 peratus), katanya. - Bernama