Teksi air bawa PATI warga Indonesia ditahan

Teksi air yang membawa PATI ditahan di perairan Johor Barat dekat Tanjung Piai, petang semalam.
Teksi air yang membawa PATI ditahan di perairan Johor Barat dekat Tanjung Piai, petang semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Lima pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor ketika cuba memasuki perairan negara ini menggunakan teksi air, petang semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, teksi air tersebut ditahan kapal ronda APMM pada kedudukan 5.0 batu nautika tenggara Tanjung Piai sekitar jam 6.20 petang.

Katanya, teksi air itu membawa seorang tekong, kru dan tiga penumpang yang kesemuanya lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 36 hingga 48 tahun.

"Bot ronda APMM yang sedang melakukan rondaan rutin Op Benteng Laut perairan Johor Barat, mengesan teksi air iaitu sebuah bot gentian sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

"Kesemua yang berada di atas teksi air itu ditahan dan dibawa ke ibu pejabat Maritim Negeri untuk disiasat di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) kerana memasuki negara ini tanpa dokumen dan permit yang sah," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Aminuddin, tertuduh boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan.

Katanya, APMM menyeru mana-mana individu yang ingin keluar atau masuk ke negara ini menggunakan laluan atau jalan yang sah dan selamat.

Artikel Berkaitan: