75 peratus aset PPM digerakkan awasi perairan

Mohd Yusoff melakukan pemeriksaan barisan dalam Majlis Serahan Terima Tugas Komanden PPM Wilayah Dua, Pengerusi Perkep PPPM Wilayah Dua dan Komandan Pusat Latihan Marin (Pulamar) di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi, Johor Bahru hari ini.
Mohd Yusoff melakukan pemeriksaan barisan dalam Majlis Serahan Terima Tugas Komanden PPM Wilayah Dua, Pengerusi Perkep PPPM Wilayah Dua dan Komandan Pusat Latihan Marin (Pulamar) di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hanya 140 hingga 150 daripada 188 kapal dan bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) di seluruh negara yang dapat beroperasi dengan baik untuk menjaga perairan Malaysia daripada aktiviti penyeludupan atau jenayah rentas sempadan.

Komander PPM, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, kira-kira 75 peratus aset milik PPM yang digunakan untuk kawalan itu masih tidak cukup untuk menjaga dan mengawal perairan negara dengan sempurna serta berkesan disebabkan kawasannya terlalu luas.

"Setakat ini hanya 60 hingga 75 peratus aset PPM dapat digerakkan dalam sehari untuk mengawal perairan negara dengan dibantu pihak lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Selebihnya 25 peratus lagi untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan penggiliran dengan kapal atau bot ronda sedia ada. Jika ada bajet, kita akan mempunyai aset 100 peratus aset untuk digerakkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Perbarisan dan Majlis Serah Terima Tugas Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Pengerusi Perkep Pasukan Polis Marin Wilayah Dua dan Komanden Pusat Latihan Marin (Pulamar) di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi di sini hari ini.

Penyerahan jawatan Komander PPM Wilayah Dua dilakukan daripada Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad, 60, yang bersara wajib pada esok kepada Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah, 52.

Mohd Yusoff berkata, semasa melakukan Ops Benteng bagi membanteras kemasukan migran di pantai timur negeri ini, pihaknya terpaksa menggunakan khidmat aset PPM Wilayah Tiga dari Kuantan, Pahang kerana Johor tidak cukup kapal dan bot ronda.

Katanya, ini berbeza dengan kawalan perairan dilakukan pasukan keselamatan di Singapura yang meletakkan sebuah bot ronda maritim mereka untuk setiap satu kilometer bagi mengekang pencerobohan di perairan republik tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kaedah itu sukar dilakukan di perairan negeri ini dan apa yang boleh dilakukan adalah dengan meletakkan sebuah bot ronda untuk menjaga setiap lima kilometer sekiranya aset PPM mencukupi.

Beliau berkata, kawalan kapal atau bot ronda yang mencukupi dibantu Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (Swasla), dron dan teknologi lain akan memudahkan kerja-kerja pengawasan dan pemantauan di laut.

Mohd Yusoff berkata, apatah lagi jarak perjalanan antara Johor dan negara jiran amat dekat dan mudah dibolosi menerusi laluan tikus, kawasan terlindung dan terpencil malah mana-mana pantai yang dirasakan selamat untuk mendarat.

"Misalnya dari Pulau Karimun, Indonesia ke Kukup, Pontian jaraknya hanya 12 batu nautika atau kira-kira 10 minit perjalanan, begitu juga dari Batam dan Pulau Bintan, Indonesia ke Johor hanya kira-kira 20 batu nautika atau 20 hingga 30 minit perjalanan," katanya.