Berpotensi ragut nyawa sendiri

A
A

Kemurungan ibarat bom jangka kepada seseorang jika ia tidak dibendung dari peringkat awal

RADAR negara pada minggu lalu agak menggegarkan. Penangan kehilangan misteri Ustazah Nur Farhana Ibrahim telah menenggelamkan cerita semasa lain.

Kisah wanita berusia 27 tahun itu rumit. Ramai mengandaikan pendidik itu 'memberontak' gara-gara masalah rumah tangga. Ternyata, telahan itu meleset.

Kepada pihak berkuasa selepas beliau ditemui, guru Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau Pinang itu memberitahu, beliau hanya ingat yang dirinya banyak berjalan kaki, menumpang di surau. Beliau juga mendakwa hanya menjamah roti dan sebotol air mineral. Kata-kata yang terpacul daripada mulutnya penuh tanda tanya.

Sebelum itu, suaminya ketika diwawancara media mengesahkan, Nur Farhana pernah menerima rawatan kemurungan pada tahun 2014. Itu semua gara-gara terpaksa berulang-alik dari Langgar ke Balik Pulau untuk mengajar di sekolah itu setiap hari.

Jarak kedua-dua hala kira-kira 200 kilometer. Wanita itu turut diuar-uarkan sudah banyak kali memohon untuk berpindah ke Kedah agar dekat dengan keluarganya.

Namun, permohonannya tidak bernoktah. Desir hatinya tidak dipedulikan. Apabila bahagia tidak menyapa, maka, bahanalah jadinya. Barangkali kerana terlalu banyak mencuba, usahanya untuk menambat perasaan sabar sudah tidak tegar lagi.

Akhirnya, Nur Farhana sendiri tidak mampu mencegah dirinya daripada berbuat sesuatu yang 'luar biasa' di luar kawalannya. Natijahnya, 'guru duka lara' itu menjadi tajuk utama media. Berhari-hari namanya menjadi sebutan. Ramai kasihani ibu kepada seorang anak perempuan itu.

Definisi murung

Bercakap soal kemurungan, apakah definisi kemurungan? Adakah murung seerti dengan tekanan? Menjawab kekeliruan itu, Pakar Perunding Psikiatri & Psikologi, Unit Perubatan Neuro-Behavior, Kedah Medical Centre, Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud memberi jawapan kepada Sihat:Aktif.

Menurut Wan Mohd Rushidi, dalam kehidupan seharian, adalah normal manusia kadangkala berasa tidak ceria, sedih, sugul atau kurang bersemangat.

Mungkin ia disebabkan kecewa tidak memperoleh apa yang dimahukan, kehilangan sesuatu atau ditinggalkan kekasih.

"Namun, itu bukan kemurungan, ia hanya kesedihan biasa yang boleh dialami oleh sesiapa sahaja," katanya.

Melabelkan seseorang yang bersarang dengan perasaan murung, berikut ialah ciri-ciri seperti yang diperincikan oleh Dr Wan Mohd Rushidi:

1 Kesedihan seseorang mestilah bersifat berpanjangan (lebih daripada 2 minggu).

2 Kesedihannya bersesuaian atau berpadanan dengan punca kesedihan.

3 Kesedihan yang dialami tidak sekadar memberi reaksi biasa.

4 Kesedihan yang dialami hingga menyebabkan gangguan kepada fungsi sosial harian, rumah tangga, pekerjaan, pengajian dan lain-lain.

Ujar pakar tersebut lagi, kemurungan atau depresi tempiasnya boleh berjangkit kepada pasangannya, anak-anak dan seluruh ahli keluarganya.

"Malangnya, kebanyakan kita tidak mahu mengakui dan lebih rela menyembunyikannya daripada pengetahuan umum. Kita malu untuk bercakap apatah lagi tampil ke hadapan untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Cenderung bunuh diri

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi statistik pada tahun 2015 mendapati, 322 juta penduduk dunia mengalami kemurungan. Angka itu meningkat hampir 18.4 peratus berbanding tahun 2005.

Statistik Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan pada tahun sama pula mendapati, kira-kira satu pertiga penduduk di Malaysia mengalami penyakit kemurungan seumur hidup.

Statistik juga mencatatkan peningkatan sebanyak 29.2 peratus atau 4.2 juta rakyat negara ini berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental berbanding 2006 yang hanya mencatatkan 11.2 peratus.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Negara pada Ogos tahun lalu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mendedahkan, dapatan sebuah kajian pada tahun lalu bahawa terdapat 4.4 peratus daripada 48,258 responden yang terdiri daripada guru mengalami stres tahap sederhana tinggi.

Perbahasannya mudah, kemurungan telah menjadi punca utama kehilangan upaya di seluruh dunia!

Kemurungan kini merupakan punca utama kehilangan upaya di seluruh dunia dengan wanita melebihi lelaki.

Prevalen kemurungan juga lebih tinggi dalam kalangan warga emas, mereka yang dirawat di hospital atau mempunyai penyakit kronik seperti angin ahmar, kanser, sakit jantung dan parkinson.

"Kemurungan merupakan gangguan jiwa paling kerap didapati dalam kalangan pesakit yang mendapat rawatan daripada doktor di klinik-klinik kesihatan sama ada swasta mahupun kerajaan.

"Malangnya 80 peratus daripada mereka tidak dikesan dan hanya 20 peratus daripada mereka yang berjaya didiagnosa mendapat rawatan yang sewajarnya," ujar Dr Wan Mohd Rushidi.

Kesan buruk yang paling ditakuti ialah individu yang murung berkecenderungan memilih untuk membunuh diri!

Berdasarkan rekod, hampir 800,000 penduduk dunia membunuh diri setiap tahun (1 bagi setiap 40 saat).

"Daripada situasi itu, kaitan antara kemurungan dan bunuh diri amat jelas," katanya sambil menambah, kadar bunuh diri dalam kalangan orang yang mengalami kemurungan dianggarkan antara 2 hingga 9 peratus.

Punca murung

Secara amnya, Dr Wan Mohd Rushidi berkata, punca kemurungan boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu biologi, psikologi dan sosial.

Hayati justifikasi-justifikasi kes berikut:

1 Kajian yang melibatkan kembar seiras dan anak angkat menunjukkan bahawa faktor genetik mempengaruhi kadar terjadinya kemurungan dalam kalangan ahli keluarga yang terdekat.

2 Perubahan hormon (terutama estrogen dan progesteron) yang drastik terutama wanita mengandung dan melahirkan anak didapati ada hubung kait dengan peningkatan kadar kemurungan pada waktu-waktu tersebut. Begitu juga ketika haid dan menopause. Hormon kortisol turut dikaitkan dengan kemurungan namun penglibatannya melibatkan kedua-dua jantina.

3 Kemurungan juga dikatakan lebih mudah berlaku dalam kalangan mereka yang mudah mengalah dan kurang keyakinan diri. Individu yang kurang kecerdasan emosi dan kekuatan untuk menghadapi dugaan dan cabaran yang menimpa diri atau keluarga akan lebih mudah terjerumus dalam lembah kemurungan.

4 Sokongan sosial adalah komponen penting dalam kehidupan. Mereka yang mempunyai sokongan yang mantap terutama ahli keluarga dan orang yang tersayang lebih mudah menghadapi apa sahaja bencana yang menimpa. Jadi tidak hairanlah kalau kadar kemurungan lebih tinggi dalam kalangan individu yang tidak berkahwin, kehilangan pasangan atau tidak mempunyai orang yang boleh membantu ketika diperlukan.

Angka rakyat Malaysia alami depresi meningkat tahun 2020

PERCAYA atau tidak, kemurungan akan menjadi penyakit kesihatan mental utama yang dialami oleh rakyat Malaysia pada tahun 2020!

Kepada Bernama, Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, hal itu berlaku disebabkan semakin ramai akan berdepan dengan masalah tekanan di tempat kerja mahupun diselubungi masalah keluarga yang berpanjangan.

Lam Thye berkata, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2017, 29 peratus rakyat Malaysia mengalami depresi dan gangguan kecelaruan berbanding 12 peratus pada 2011.

"Kebanyakan orang didapati sukar untuk menguruskan masalah yang mereka hadapi di tempat kerja dan tidak mampu mengendalikan stres.

"Keadaan lebih parah apabila individu itu berdepan masalah daripada anggota keluarga dan tidak mendapat sokongan emosi.

"Terdapat peluang lebih tinggi bahawa seseorang itu akan hanya berdiam diri dan memendam emosi apabila mereka tidak mencari cara untuk meluahkan kekecewaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Lam Thye menambah, penyelidikan oleh pakar berhubung kadar depresi dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 50 peratus pesakit depresi dari tahun 2011 hingga tahun 2015.

Kenali simptom-simptom kemurungan

2 simptom yang paling utama ialah:

Kesedihan yang nyata

Hilang minat dalam melakukan apa sahaja

Simptom-simptom lain termasuk:

Perasaan

Rasa kecewa

Rasa bersalah

Mudah marah

Mudah melenting atau naik angin

Hilang keyakinan diri

Tidak gembira atau ceria - serabut

Ragu-ragu untuk membuat keputusan

Fizikal

Mudah letih

Lesu dan tidak bermaya

Kerap sakit kepala

Kerap sakit dan kembung perut

Kerap sakit-sakit badan dan sendi

Gangguan tidur (bangun sangat awal atau susah untuk tidur)

Hilang selera hinggasusut berat badan

Fikiran

Hilang fokus dan tumpuan

Mudah lupa

Selalu berkata pada diri:

'Aku orang yang gagal'

'Hidupku sudah tak bermakna'

'Mereka tentu lebih suka kalau aku tidak ada'

'Aku hanya menjadi beban kepada semua'

'Aku tidak berguna'

'Semua salah aku'

'Tidak ada apa yang baik pernah berlaku dalam hidup aku'

Tingkah laku

Kemerosotan prestasi kerja atau pelajaran

Ponteng sekolah atau kerja

Kerap mengambil cuti sakit

Enggan keluar rumah - mengurung diri

Lebih selesa bersendirian

Menjauhkan diri daripada ahli keluarga, kawan-kawan dan orang ramai

Berhenti dari melakukan aktiviti yang menggembirakan

Mengambil alkohol atau dadah

Kes-Kes Akibat Kemurungan

19 Julai 2018:

IPOH - Seorang guru wanita yang dipercayai mengalami kemurungan dan tekanan ditemui mati selepas jatuh dari tingkat lima sebuah pusat beli-belah di Ipoh, Perak.

Mangsa, Liew Kit Mooi, 36, ditemui di kawasan berhampiran laluan kereta pusat beli-belah berkenaan dalam keadaan terlentang oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi polis.

2 Julai 2018:

KUALA LANGAT - Seorang anak membunuh ibu kandungnya di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini dipercayai berpunca daripada kemurungan dialami suspek sejak memperoleh keputusan teruk dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek berusia 20 tahun itu pernah mengikuti pengajian di sebuah maahad tahfiz dari umur 13 hingga 16 tahun.

31 Mac 2018

LONDON - Kes kematian seorang remaja perempuan berasal dari India yang ditemui menggantungkan diri di premis sekolah di utara London, tahun lalu, dipercayai ada kaitan dengan oleh WhatsApp Group, lapor media Britain, The Sun.

Hasil siasatan berkaitan kematian pelajar itu dikeluarkan minggu ini, selepas pakar psikiatri, Emily Hallgarten memberitahu mahkamah bahawa kanak-kanak berusia 14 tahun itu mungkin bertindak demikian selepas rakan-rakannya mengecualikannya dari kumpulan WhatsApp mereka.

18 Oktober 2017

SEOUL - Anggota kumpulan SHINee, Jonghyun ditemukan mati kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan) di rumahnya yang terletak di Chungdam, Seoul.

Koreaboo melaporkan pihak polis turut mengesahkan mengenai kematian penyanyi itu selepas beberapa laporan mengatakan beliau ditemui tidak sedarkan diri.

Kematian selebriti dipercayai akibat kemurungan yang ekstrem hingga mengambil keputusan menamatkan riwayatnya sendiri.

Dakwaan itu barangkali ada kebenaran selepas pihak berkuasa menemui nota ditulisnya antara lain berbunyi:

"Segalanya terlalu sukar untuk saya, tolong benarkan saya pergi dan beritahu saya bahawa saya sudah bekerja keras dan lakukan yang terbaik. Ini adalah yang terakhir, selamat tinggal."


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia