23,955 rakyat Malaysia terkandas di luar negara dibawa pulang

Hishammuddin ketika sidang akhbar di bilik media Parlimen di sini.
Hishammuddin ketika sidang akhbar di bilik media Parlimen di sini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 23,955 rakyat Malaysia yang terkandas di 82 negara berjaya dibawa pulang ke tanah air setakat ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, seramai 191 orang lagi yang masih terkandas dikategorikan kritikal.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 189 orang terdiri daripada jemaah tabligh yang berada di India.

"Ada yang telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman, ada yang sudah didakwa tetapi masih belum melalui proses kehakiman dan ada yang masih lagi dalam kuarantin dan belum didakwa di mahkamah.

"Maklumat terkini (jemaah tabligh Malaysia di India) saya akan edarkan secara bertulis dan ini merupakan perkembangan yang agak positif," katanya pada sidang akhbar di bilik media Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau memberitahu seramai 10,159 orang rakyat Malaysia yang berada di luar negara berada dalam senarai berpotensi untuk dibawa pulang oleh Wisma Putra.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 9,270 orang ialah pelajar yang sebahagian besar berada di tahun akhir pengajian.

"Covid-19 masih jauh daripada berakhir, jadi kita membuat perancangan proaktif sama ada pelajar yang berada di tahun terakhir perlu kembali dan mesti ambil maklum di mana mereka.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini mereka tidak kritikal untuk dibawa balik tetapi kita hanya melakukan persediaan," katanya.

Katanya, Wisma Putra memberi perhatian kepada pelajar tahun akhir khususnya yang tidak berada di bawah tajaan kerana menyedari kesukaran yang akan dihadapi jika pandemik itu masih berpanjangan.

"Kalau mereka di bawah tajaan tidak ada masalah kerana penaja sudah ada peruntukan," katanya.