Jumpa ibu di Ipoh, dua beradik berbasikal 200km

Azzim bersama ibunya sebaik tiba di Ipoh sebelum jam 7 malam.
Azzim bersama ibunya sebaik tiba di Ipoh sebelum jam 7 malam.
A
A
A

RAWANG - Dua beradik mengayuh basikal sejauh 200km dari Rawang, Selangor untuk pulang ke kampung bertemu ibu mereka di Taman Meru, Ipoh, Perak.

Azzim Zahid Azmi, 23, bersama abangnya yang mahu dikenali sebagai John Lemon mengambil masa hampir 12 jam untuk tiba di kampung mereka.

"Kami memulakan kayuhan pada jam 7 pagi pada 11 Julai dan tiba pada hari yang sama hampir jam 7 malam.

"Dalam perjalanan kami berhenti setiap 50km dan Alhamdulillah tiada masalah termasuk kondisi basikal juga dalam keadaan baik," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebelum melaksanakan misi balik kampung, dia juga pernah membuat kayuhan dari Kuala Lumpur ke Melaka sejauh 160km.

"Sebenarnya, saya dan abang dalam latihan untuk menyertai program Ironman yang dijangka pada Oktober tahun hadapan. Kami bersama pasukan Chap Ayam Triathlete.

"Semasa rakan nak pergi ke Utara, mereka ajak kayuhan dari Rawang ke Ipoh sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang menaiki kereta.

"Kebetulan rumah mak di Ipoh, jadi kami terus sertai mereka sebagai salah satu latihan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, di media sosial aktiviti kayuhan dua beradik sejauh 200km dari Rawang ke Ipoh untuk bertemu ibu tular hingga menarik perhatian ramai.

"Saya menjangkakan perkara ini akan menjadi bualan hangat di Twitter, Facebook. Saya gembira kerana ramai yang memberi sokongan," katanya,.

Bagaimanapun Azzim turut menasihatkan mereka yang baru menceburi sukan berbasikal perlu memperbanyakkan latihan kayuhan sebelum menyertai perjalanan jarak jauh.

"Sukan ini adalah untuk kesihatan diri dan tidak salah jika betul caranya," katanya.