Lans koperal didakwa terima rasuah RM500

Mohd Rosdi menutup mukanya dengan beg sandang sejurus keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas prosiding pertuduhan ke atasnya selesai.
Mohd Rosdi menutup mukanya dengan beg sandang sejurus keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas prosiding pertuduhan ke atasnya selesai.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lans koperal polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah membabitkan urusan pekerja asing yang tidak mempunyai permit sah, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Lans Koperal Mohd Rosdi Muhammad, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Kluang Baru, Kluang, Johor, didakwa memperoleh suapan wang tunai RM500 daripada seorang lelaki melalui transaksi bank di sebuah bank di Jalan Air Jernih di sini pada 26 Januari 2017.

Wang itu adalah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lelaki itu dan pekerja asing di sebuah kilang beroperasi di Johor yang tidak mempunyai permit kerja sah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Jamaludin Mat kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Johor bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel Berkaitan: