Maqis rampas 7kg produk tenusu

Maqis - Foto sumber internet
Maqis - Foto sumber internet
A
A
A

SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas tujuh kilogram (kg) produk tenusu bernilai RM3,190.45 yang cuba dibawa masuk ke negara ini untuk dijadikan yogurt.

Pengarah Maqis Negeri Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, hasilan haiwan cuba dibawa masuk dari Denmark itu didapati tidak mempunyai sebarang permit import yang dikeluarkan oleh Maqis.

Menurutnya, perbuatan itu menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Hasil pemeriksaan pegawai di pintu masuk kargo Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) semasa pengisytiharan dilakukan mendapati dagangan yang dibawa tersebut tidak mempunyai sebarang permit import.

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali. Dagangan tersebut disita untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata, Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan bagi setiap keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara bagi memastikan pengimport dan pengeksport mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan: