Perodua bantu Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah

Satu set videoskop fleksibel mudah alih yang disumbangkan kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.
Satu set videoskop fleksibel mudah alih yang disumbangkan kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Perodua menyumbangkan satu set videoskop fleksibel mudah alih kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah manakala 250 pesakit pediatrik kurang berkemampuan menerima sumbangan merangkumi peralatan sekolah serta cermin mata preskripsi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, daripada 250 kanak-kanak terbabit, 200 pesakit berusia di bawah 12 tahun menerima alat tulis sementara 50 pesakit luar diberikan cermin mata preskripsi.

“Malaysia kini menunjukkan tanda-tanda positif dalam memerangi koronavirus (Covid-19). Oleh itu, kami sedang mengkaji keutamaan lain dalam memastikan kualiti hidup bertambah baik di negara ini.

“Sumbangan kami di sini adalah sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah kerana menjalankan tugas menjaga pesakit tanpa kenal penat lelah dan dengan penuh kasih sayang,” katanya dalam satu kenyataan Isnin lalu.

Perodua memainkan peranannya sebagai organisasi yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat Malaysia.
Perodua memainkan peranannya sebagai organisasi yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat Malaysia.

Beliau berkata, Perodua julung kali melawat Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah pada tahun 2018.

Katanya, ketika lawatan itu, pihaknya menyumbangkan dua set laryngoscope blades dan 40 bantal serta barangan mainan untuk kira-kira 250 pesakit kanak-kanak di hospital berkenaan.

“Berdasarkan maklum balas daripada pihak hospital, kami memutuskan untuk terus membantu institusi kesihatan ini bagi meningkatkan kemampuannya dan menyumbang secara langsung kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Adalah penting bagi Perodua untuk meneruskan peranannya sebagai organisasi yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat Malaysia yang telah memberi sokongan padu kepada kami selama ini,” katanya.