X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Selangor hampir hijau sepenuhnya

Lapan daerah di Selangor kini ditakrif sebagai zon hijau sifar kes aktif Covid-19.
A
A

SHAH ALAM - Lapan daerah di Selangor kini ditakrif zon hijau kecuali Sepang yang masih berada di zon kuning mencatat 11 kes aktif wabak koronavirus (Covid-19).

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik dikongsikan di Facebooknya memaklumkan, berdasarkan jumlah itu, 10 kes direkod di mukim Labu manakala satu kes lagi di mukim Dengkil.

Menurut kenyataan itu, sebanyak satu kes baharu dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari semalam melibatkan kes luar negara.

"Hari ini demografi zon kes aktif kekal seperti semalam (kelmarin). STFC menggesa warga Selangor untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan betul serta mengamalkan normal baharu setiap masa.

"Potensi ledakan wabak Covid-19 masih wujud dan memerlukan sikap berhati-hati," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, daerah Petaling dilapor menjadi daerah kelapan di Selangor yang menjadi zon hijau selepas Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Hulu Langat, Kuala Langat, Gombak dan Hulu Selangor.

Setakat semalam, Selangor mencatat 2,093 kes Covid-19, seramai 1,886 pesakit dilapor telah sembuh manakala 11 kes masih aktif.

Selangor mencatat 24 kes kematian akibat dijangkiti wabak itu sehingga semalam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus