X

Kindly register in order to view this article
!

1,283 gelandangan diselamatkan ketika PKP

Rina Mohd Harun
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 1,283 orang gelandangan diselamatkan dan ditempatkan di 23 pusat gelandangan sementara di seluruh Malaysia dalam usaha mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, inisiatif itu dilakukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdasarkan kuasa yang diturunkan Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, Jabatan kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan (JKMWP) dilantik sebagai ahli jawatankuasa bertindak Gelandangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah Jawatankuasa Pengurusan Krisis yang ditubuhkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Selain KPWKM dan JKM, task force ini turut melibatkan keahlian dari kementerian dan agensi lain yang berkaitan iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan beberapa agensi berkepentingan dalam pengendalian isu gelandangan.

“Bagi kawasan Kuala Lumpur yang mencatatkan bilangan gelandangan tertinggi hampir 50 peratus, KPWKM dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menempatkan gelandangan diselamatkan di dewan orang ramai, pusat komuniti dan balai raya diubah suai untuk dijadikan Penempatan Sementara Gelandangan (PSG),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang meminta Menteri KPWKM menyatakan tindakan diambil dalam menangani isu gelandangan dan pelesenan ketika Perlaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, KPWKM turut memainkan peranan dalam menjalankan profiling ke atas gelandangan yang berada dalam kategori kumpulan sasar KPWKM iaitu orang kurang upaya, warga emas dan juga kanak-kanak.

"Profiling gelandangan dilaksanakan bagi membolehkan pengendalian kes dan penempatan yang bersesuaian dibuat dan persediaan bagi tindakan kemasukan ke institusi JKM mengikut prosedur ditetapkan sekiranya perlu.

"Beberapa tindakan diambil terhadap gelandangan antaranya penghantaran pulang kepada keluarga bagi gelandangan yang masih mempunyai waris dan boleh dihubungi serta kemasukan ke institusi JKM bagi yang tiada waris," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus