FGV lantik Haris Fadzilah CEO kumpulan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Haris Fadzilah Hassan sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan, berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk Zakaria Arshad, yang meletak jawatan September, tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, Haris Fadzilah mempunyai pengalaman 28 tahun dalam sektor korporat, terutama dalam aspek pengurusan strategi dan perubahan.

“Beliau sebelum ini menjawat jawatan pengarah, pengurusan komersial dan tanah di Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan anggota utama pasukan yang berjaya menyiapkan fasa 1 MRT Corp, kurang daripada bajet sebenar dan siap lebih awal daripada jadual asal,” katanya.

Sementara itu, FGV juga mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid sebagai ketua pegawai kewangan kumpulan (CFO), Mazri Abdul Rahim sebagai ketua pegawai sumber manusia dan Dr Christina Ooi Su Siang sebagai ketua pegawai pemerolehan.

Kumpulan perladangan itu berkata, Mohd Hairul, seorang akauntan, mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan kewangan dan percukaian, dan pernah berkhidmat sebagai CFO di MRT Corp.

Mazri, yang telah berkhidmat dalam pelbagai sektor di syarikat pengeluar barangan pengguna, termasuk operasi sumber manusia, pampasan dan faedah, dan pembangunan organisasi, memperoleh Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan pengkhususan dalam Personel dan Pengurusan Perindustrian dari University of North Texas, Amerika Syarikat.

Christina membawa bersamanya pengalaman lebih dua dekad dalam pengurusan perolehan, terutama dalam pengurusan transformasi perolehan, yang merupakan bahagian penting dalam pemulihan dan pelan transformasi FGV.

Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, sebagai syarikat tersenarai, FGV mempunyai tanggungjawab kepada para pemegang saham dalam mewujudkan dan merealisasikan nilai.

Artikel Berkaitan:

"Pelan transformasi yang ada hari ini menetapkan arah untuk syarikat dan pasukan pengurusan kami yang diketuai oleh Haris Fadzilah, untuk memacu FGV ke hadapan. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kemampuan mereka untuk merealisasikan keputusan," katanya. - Bernama