Pilihan raya kerajaan tempatan bazir wang rakyat: Pakar

Laporan Sinar Harian berkaitan sasaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membentangkan usul pilihan raya kerajaan tempatan dalam sidang Dewan Rakyat, pada pertengahan 2021.
Laporan Sinar Harian berkaitan sasaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membentangkan usul pilihan raya kerajaan tempatan dalam sidang Dewan Rakyat, pada pertengahan 2021.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inisiatif kerajaan meneruskan hasrat melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan membazirkan wang rakyat.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, buat masa ini, tiada asas kukuh dapat menyokong cadangan bagi menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

Menurutnya, kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memaklumkan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan dijangka menelan kos sebanyak RM2 juta bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan RM308 juta secara keseluruhannya yang merangkumi 154 PBT sebenarnya merupakan kos sangat minimum.

"Dipercayai kos sebenar jauh lebih tinggi dan belum mengambil kira aspek perbelanjaan yang ditanggung oleh parti dan calon yang bertanding.

"Ketika keadaan negara yang terpaksa melaksanakan langkah perbelanjaan berhemat akibat wabak koronavirus (Covid-19), cadangan yang berteraskan komitmen parti tertentu dalam Pakatan Harapan (PH) itu wajar digugurkan atau sekurang-kurangnya ditangguhkan.

ARTIKEL BERKAITAN: KPKT mahu teruskan pilihan raya kerajaan tempatan

"Ironinya cadangan itu pernah ditolak oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ketika memimpin kerajaan PH," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Fathi berkata, pilihan raya kerajaan tempatan turut diyakini akan melemahkan fungsi dan kuasa kerajaan negeri sekiranya diadakan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tidak mustahil juga akan berlaku ketidaksehaluan pentadbiran kerajaan tempatan di ibu negeri dengan kerajaan negeri yang mungkin berlaku di beberapa negeri.

"Dalam keadaan sistem federalisme yang mengehadkan kuasa kerajaan negeri kepada skop kuasa yang sedia terhad, kehilangan kuasa langsung ke atas kerajaan tempatan akan melemahkan kerajaan negeri,"katanya.

Muhammad Fathi turut mempersoalkan kriteria pengundi yang layak mengundi jika pilihan raya kerajaan tempatan diadakan di negara ini.

Menurutnya, jika kelayakan mengundi hanya diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan dalam sempadan sesuatu kerajaan tempatan, ia merupakan diskriminasi kepada 'penduduk siang' iaitu mereka yang datang dari luar tetapi bekerja di kawasan berkenaan.

"‘Penduduk siang’ ini hakikatnya banyak memberikan sumbangan kepada kemakmuran sesuatu kerajaan tempatan, dan akan menerima kesan langsung akibat pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa kerajaan tempatan,"katanya.

Semalam, Zuraida memaklumkan kepada sidang Parlimen bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih meneruskan hasrat melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Beliau menjelaskan pihak kementerian masih dalam penyediaan kertas Kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya itu.

Zuraida turut menetapkan sasaran untuk membentangkan usul pilihan raya kerajaan tempatan dalam sidang Parlimen pada pertengahan tahun 2021.