Penjaja asing larikan diri, gerai diserbu DBKL

Antara gerai yang dikenakan tindakan dalam Operasi Penguatkuasaan Anti Litter di sekitar Taman Sungai Besi (gambar kiri), dan DBKL terpaksa menggunakan kren bagi menurunkan iklan tanpa lesen di sekitar kawasan Jalan Bunus 6 Off Jalan Masjid India.
Antara gerai yang dikenakan tindakan dalam Operasi Penguatkuasaan Anti Litter di sekitar Taman Sungai Besi (gambar kiri), dan DBKL terpaksa menggunakan kren bagi menurunkan iklan tanpa lesen di sekitar kawasan Jalan Bunus 6 Off Jalan Masjid India.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita barang perniagaan seorang warga asing selepas lelaki itu melarikan diri ketika diserbu Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL petang semalam.

Penguat kuasa Operasi Penguatkuasaan Anti Litter DBKL turut mengeluarkan 14 kompaun kepada peniaga lain di kawasan sekitar atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di sekitar Taman Sungai Besi, Parlimen Bukit Bintang di sini,

Unit Media DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan penjaja warga asing yang tidak mempunyai pengenalan diri itu melarikan diri kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, menghalang laluan serta membuang cecair kotoran dan air basuhan di atas jalan.

"Dalam operasi sama, pemilik premis perniagaan turut diberikan ingatan supaya membantu menjaga kebersihan dan menyediakan tong sampah," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, DBKL meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung premis perniagaan yang tidak bersih menyalurkan aduan ke Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1800 883255 atau terus ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran.

Sementara itu dalam operasi berasingan DBKL melalui 31 petugas Unit Penguatkuasaan Premis (Iklan) mengambil tindakan terhadap iklan yang dinaikkan tanpa kebenaran di sekitar kawasan Jalan Bunus 6 Off Jalan Masjid India.

"Penurunan iklan dinding papan tanda tanpa lesen ini merupakan sambungan tindakan operasi pada 9 Julai yang lalu namun kali ini menggunakan kren dan 'skylift' kerana kedudukan iklan yang tinggi.

"Tindakan diambil di bawah Undang-undang Kecil UUK Iklan (WPKL) 1982," menurut kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan: