Sektor pelancongan negara rugi RM45 bilion, kata menteri

Nancy - Foto fail
Nancy - Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menganggarkan sektor pelancongan negara mengalami kerugian sebanyak RM45 bilion akibat daripada kesan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah kerugian itu termasuklah kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan ekoran aktiviti perniagaan yang tidak boleh dijalankan, pemotongan gaji serta pembatalan tempahan produk pelancongan seperti hotel dan pakej pelancongan.

Menurutnya, kerugian itu berlaku susulan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu yang menyaksikan pintu sempadan negeri dan negara ditutup bagi mengekang penularan wabak tersebut.

"Motac mengunjurkan kerugian bagi segmen pelancong antarabangsa adalah melebihi RM31 bilion, manakala bagi segmen pelancong domestik, kementerian menganggarkan kerugian melebihi RM13 bilion.

"Berdasarkan statistik, bagi tempoh Januari hingga Mac 2020, perbelanjaan pelancong antarabangsa merekodkan penurunan sebanyak 41.5 peratus daripada RM21.4 bilion pada 2019 kepada RM12.5 bilion," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Jerantut (BN), Datuk Ahmad Nazlan Idris pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurutnya, penularan wabak pandemik itu bukan sahaja memberi impak negatif kepada Malaysia tetapi turut dialami hampir semua negara di seluruh dunia.

"Pada masa ini, kerajaan akan menumpukan kepada usaha-usaha pemulihan industri pelancongan menerusi pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan dan Kebudayaan yang telah dirangka oleh Motac," katanya.

Dalam pada itu, Nancy turut memberitahu keputusan untuk melaksanakan Tahun Melawat Malaysia pada masa akan datang adalah bergantung kepada keadaan global semasa dan mengambil kira tempoh masa yang wajar bagi persediaan pelaksanaan sebarang kempen dalam skala yang besar.

Artikel Berkaitan: