X

Kindly register in order to view this article
!

Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan bermesyuarat

Ronald Kiandee - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya, Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara memulakan mesyuaratnya hari ini bagi membincangkan aspek tadbir urus jawatankuasa itu.

Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pelaksanaan Dasar Sekuriti Makanan Negara yang lebih holistik dapat dicapai.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam kenyataannya, berkata jawatankuasa itu mempunyai 17 ahli tetap yang terdiri daripada ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi selain penglibatan ahli akademik, pemain industri dan badan bukan kerajaan (NGO).

Kenyataan itu turut menyebut, jawatankuasa yang ditubuhkan pada 29 April lalu bertanggungjawab sebagai 'coordinating commitee' yang mencadangkan strategi dan pelan tindakan berkaitan sekuriti makanan negara untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelak.

"Ia juga bertanggungjawab mengenal pasti intervensi kerajaan untuk mencapai objektif yang disasarkan.

"Fungsinya seperti penggunaan teknologi terkini, pembiayaan kredit dan aktiviti pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi bagi menjadikan sektor pertanian antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara," kata kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan berkenaan memaklumkan jawatankuasa eksekutif itu akan dibantu oleh empat cadangan kluster berdasarkan perkara yang digariskan dalam kerangka sekuriti makanan negara iaitu ketersediaan, kemampuan, keselamatan dan kestabilan.

"Hasil perbincangan dalam mesyuarat ini akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang akan bersidang di Parlimen pada 12 Ogos depan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus