Kepadatan penduduk antara punca kes Covid-19 di Selangor tinggi

Mariah menjawab pertanyaan yang dilontarkan sewaktu Sidang DUN Selangor, hari ini.
Mariah menjawab pertanyaan yang dilontarkan sewaktu Sidang DUN Selangor, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kepadatan penduduk di Selangor antara faktor kes koronavirus (Covid-19) tinggi di negeri ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sekiranya perbandingan dibuat berdasarkan nisbah rakyat dan kes, Selangor sebenarnya bukan menjadi negeri tertinggi kes itu.

Katanya, Selangor pernah berada di tempat ketiga kes Covid-19 tertinggi selepas Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Selangor seramai 6.5 juta dan kawasan seperti Petaling merekodkan kes tinggi kerana kepadatan penduduk.

"Hulu Langat pula pula mencatatkan kes tinggi kerana wujudnya kluster di kawasan itu," katanya ketika sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mariah berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bebas-Bukit Antarabangsa) yang bertanyakan mengenai punca jumlah kes Covid-19 tinggi di Selangor dan strategi kerajaan negeri mengekang penularan wabak berkenaan khususnya dalam kalangan tenaga kerja asing.

Mengulas lanjut, Mariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang memaklumkan bahawa kerajaan negeri mengambil inisiatif melakukan ujian saringan melibatkan kumpulan berisiko tinggi khususnya warga emas.

"Saya rasa kerajaan negeri berjaya kerana kita dapat membendung wabak dalam kalangan komuniti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, 10 kes yang aktif di Sepang semalam disebabkan oleh warga asing di depoh tahanan.

Semalam, Selangor merekodkan 11 kes aktif Covid-19 di daerah Sepang membabitkan dua mukim iaitu Dengkil dan Labu.