500 pelajar TVET mulakan pengalaman pembelajaran serba baharu

Clement Tan (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi Megatech Education Sdn Bhd, Prasanna.
Clement Tan (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi Megatech Education Sdn Bhd, Prasanna.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Konsep pendidikan tradisional telah berubah dengan ketara dalam tempoh beberapa bulan lepas, apabila guru dan pelajar terpaksa menyesuaikan diri dengan pantas kepada kebiasaan baharu yang bertunjangkan teknologi.

Dalam usaha mencetus transformasi dalam platform pendidikan, RAMSSOL Group, sebuah kumpulan sumber manusia yang inovatif, telah bergabung tenaga dengan Megatech Education Sdn Bhd untuk menyediakan platform Lark kepada 500 pelajarnya.

Lark ialah platform kerjasama semua dalam satu yang memenuhi garis panduan e-pembelajaran yang ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Lark yang disyorkan oleh UNESCO sebagai penyelesaian pembelajaran jarak jauh, menawarkan kombinasi modul komunikasi yang pelbagai, seperti persidangan video, penciptaan dan kerjasama dokumen, dan perkongsian ruang kerja, mewujudkan suasana pembelajaran yang lancar dan terlindung.

Yakin terhadap peranan penting yang dimainkan oleh teknologi dalam pendidikan dan perniagaan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama RAMSSOL Group, Clement Tan berkata, e-pembelajaran kini pantas menjadi cara paling penting untuk mendigitalkan operasi perniagaan dan menyampaikan ilmu.

"Hakikatnya, kita sudah mempelopori bidang ini seperti yang terkandung dalam Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

"Kami gembira kerana dapat memainkan peranan dalam revolusi ini dan berharap untuk menjalin hubungan yang bermakna dengan Megatech,” kata beliau dalam satu kenyataan akhbar hai ini.

Beliau berkata, sebagai sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Megatech menerajui usaha melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi Lark, kami yakin kami dapat menyokong Megatech dalam usaha mereka untuk terus melahirkan pelajar yang celik teknologi dan bersedia untuk menceburi industri, lebih-lebih lagi dengan pengiktirafan terhadap platform ini oleh JPK,” katanya.

RAMSSOL Group bekerjasama dengan Megatech Education Sdn Bhd untuk menyediakan platform Lark kepada 500 pelajarnya.
RAMSSOL Group bekerjasama dengan Megatech Education Sdn Bhd untuk menyediakan platform Lark kepada 500 pelajarnya.

Sebagai sebuah platform mantap yang mudah digunakan, Lark memberikan capaian kepada pelajar sedia ada dan baharu kepada pelbagai ciri tanpa proses penyertaan yang rumit.

Katanya, ini memberi pelajar kelebihan untuk menyempurnakan tugasan sekolah mereka di mana sahaja mereka berada, sekali gus mentakrifkan semula konsep bilik darjah fizikal.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC), Ts.P Sailanathan berkata, teknologi ternyata telah mengubah cara pendidikan disampaikan.

Beliau berkata, kehadiran fizikal di bilik darjah bukan satu-satunya pilihan pembelajaran yang disediakan, memandangkan adanya Internet dan teknologi baharu.

"Kami sukacita untuk bekerjasama dengan RAMSSOL Group untuk memanfaatkan kepakaran mereka membekalkan penyelesaian berkualiti yang boleh memacu perkembangan institusi TVET di Malaysia,” katanya.

FeMAC ialah sebuah persatuan yang dianggotai penyedia latihan bertauliah dalam semua bidang pembangunan.

Buat masa ini, terdapat lebih 300 pusat bertauliah JPK di seluruh negara yang berdaftar dengan FeMAC.

Ketua Pegawai Operasi Megatech Education Sdn Bhd, Prasanna pula berkata, selain daripada menganjurkan kelas jarak jauh dengan cekap, Lark telah menyediakan lebar jalur yang diperlukan untuk mendigitalkan proses, meningkatkan pengekalan pelajar dan mengambil pelajar baharu.

"Dengan menyesuaikan dengan model pembelajaran tergabung ini, kami telah berjaya mengekalkan kualiti, ciri boleh skala dan paling penting, kewibawaan yang boleh membawa kepada kejayaan pendidikan,” katanya.