Pemandu mabuk: Kerajaan akan pinda APJ 1987 (Akta 333)

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 secara khusus untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan melulu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ketiga-tiga komponen hukuman akan dipinda termasuklah kadar denda, tempoh penjara dan tempoh penggantungan lesen memandu.

Menurutnya, perkara itu dipersetujui secara dasar oleh Jemaah Menteri pada 24 Jun lalu.

"Jabatan Peguam Negara telah menyemak draf Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan draf RUU ini akan dibentangkan untuk persetujuan Jemaah Menteri pada 17 Julai 2020 dan seterusnya untuk dibentangkan di Parlimen pada sesi kali ini.

"Tindakan ini dilakukan bagi menjadikan satu bentuk detoran dan pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Arau (BN), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, selain daripada pindaan hukuman, kerajaan juga akan meminda had kandungan alkohol yang dibenarkan supaya selaras dengan piawaian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, had kandungan itu daripada 35 mikrogram alkohol dalam100 mililiter nafas; 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah atau 107 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing kepada 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas; 50 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah atau 67 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing.

Mengulas mengenai cadangan mengenakan hukuman mati bagi kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu di bawah pengaruh alkohol, Ka Siong berkata, perkara itu perlu mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Jika Kanun Keseksaan (Akta 574) digunakan untuk menjatuhkan hukuman mati, ia perlu dibuktikan di mahkamah bahawa pemandu mabuk tersebut mempunyai niat untuk membunuh melampaui keraguan munasabah," katanya.