Sasar deposit SSPN RM1.5 bilion

Cabutan WOW! SSPN-i Plus yang dilancarkan Wan Saiful (kiri) semalam menawarkan hadiah utama Cabutan Tahunan berupa kereta Mercedes-Benz C200 FL AMG Line, manakala wang tunai akan dibawa pulang oleh pemenang Cabutan Bulanan. - Foto:ROSLI TALIB
Cabutan WOW! SSPN-i Plus yang dilancarkan Wan Saiful (kiri) semalam menawarkan hadiah utama Cabutan Tahunan berupa kereta Mercedes-Benz C200 FL AMG Line, manakala wang tunai akan dibawa pulang oleh pemenang Cabutan Bulanan. - Foto:ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan jumlah deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM1.5 bilion dengan penambahan 400,000 akaun baharu menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, be-liau optimis sasaran itu mampu dicapai susulan kejayaan PTPTN yang merekodkan jumlah deposit sebanyak RM1.3 bilion pada tahun lalu.

Menurutnya, PTPTN akan cuba meneruskan kejayaan yang dicapai itu walaupun berdepan cabaran ekonomi dan pandemik koronavirus (Covid-19) pada tahun ini.

“Kami juga berkeyakinan akan dapat meningkatkan jumlah deposit berdasarkan pencapaian yang direkodkan PTPTN sebanyak RM564.20 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2020 berbanding RM380.18 juta untuk tempoh sama pada tahun 2019.

“Ia menunjukkan peningka-tan sebanyak RM184.02 juta atau 48.4 peratus,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 di Menara PTPTN di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob serta Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Wan Saiful berkata, sejak SSPN dilancarkan pada tahun 2004 sehingga Mei 2020, jumlah keseluruhan deposit terkumpul SSPN mencecah 6.4 bilion dengan 4.5 juta akaun yang telah dibuka.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Mengulas mengenai Pelancaran Cabutan WOW! SSPN-i Plus, beliau berkata, promosi bagi tahun 2020 terdiri daripada dua kategori iaitu Cabutan Tahunan dan Cabutan Bulanan.

“Tempoh promosi Cabutan WOW! SSPN-i Plus akan berlangsung bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020 untuk Cabutan Bulanan, manakala Cabutan Tahunan bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2020,” katanya.

Menurutnya, PTPTN sentiasa proaktif memperkasakan amalan penabungan pendidikan dalam kalangan masyarakat kerana PTPTN menyedari bahawa untuk membudayakan penabungan bukan sesuatu yang mudah.

“Pelbagai kaedah PTPTN perkenalkan demi memastikan masyarakat mengetahui mengenai SSPN, contohnya pada tahun 2019, PTPTN menjelajah hampir semua negeri di Malaysia menerusi Program Jelajah SSPN.

“Pada tahun ini, program itu diteruskan di negeri yang belum dijelajah pada tahun lepas. Alhamdulillah, program yang tertangguh ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dapat dilaksanakan mulai 11 Julai lalu,” katanya.

Melalui Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020, seramai 1,123 pendeposit berpeluang memenangi hadiah menarik dan lumayan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1 juta ditawarkan.

Hadiah utama Cabutan Tahunan bagi Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 ialah kereta Mercedes-Benz C200 FL AMG Line, sementara wang tunai pula menanti pemenang Cabutan Bulanan.

Pembukaan dan penambahan akaun SSPN-i Plus boleh dibuat secara cashless dengan mudah, cepat dan selamat di www.lovesspn.com.

Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN dan mengunjungi Pejabat PTPTN Negeri berdekatan di negeri masing-masing untuk membuka akaun, membuat tambahan simpanan atau mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut.