Lebih 230,000 pelajar di Perak mula bersekolah hari ini

Murid SK Jelapang mengikut SOP ditetapkan sebelum dibenarkan masuk ke kelas masing-masing pada hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan hari ini.
Murid SK Jelapang mengikut SOP ditetapkan sebelum dibenarkan masuk ke kelas masing-masing pada hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan hari ini.
A
A
A

IPOH - Seramai 230,133 pelajar sekolah rendah dan menengah di Perak memulakan sesi persekolahan hari ini.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak melalui kenyataan memaklumkan daripada jumlah tersebut, 164,225 pelajar dari Kelas Peralihan, Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam Atas manakala 65,907 lagi membabitkan murid Tahun Lima dan Tahun Enam.

Sebanyak 1,102 buah sekolah terdiri daripada 250 sekolah menengah dan 852 sekolah rendah dibuka hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelapang, Taman Meru mendapati semua murid yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan berbaris di pintu pagar sekolah untuk diambil bacaan suhu dan menggunakan pensanitasi tangan.

Murid juga perlu berada di laluan khas dengan garisan kuning untuk ke kelas diiringi guru bertugas.

Guru Besar SK Jelapang, Noor Azman Zainal Abidin berkata, pihak sekolah amat menitikberatkan SOP terutama penjarakan sosial selain menggunakan pelbagai medium untuk memberi penjelasan kepada murid dan ibu bapa supaya sentiasa mematuhi SOP.

"Pelaksanaan SOP dimaklumkan kepada jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru selain berkongsi maklumat berkaitan di aplikasi Telegram termasuk video simulasi SOP.

"Guru juga bertanggungjawab memberi taklimat dan peringat di dalam kelas. Sistem siaraya juga akan berfungsi mengingatkan warga sekolah mematuhi SOP. Poster juga menjadi medium penting mengingatkan murid," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan sekolah hari ini.

Artikel Berkaitan:

Noor Azman
Noor Azman

Sementara itu, bagi memastikan proses SOP ketika masuk ke dalam sekolah berjalan lancar, Noor Azman menjelaskan pihaknya menyediakan 13 unit alat pengimbas suhu infrared untuk pemeriksaan suhu murid dengan lebih cepat.

Seorang murid Tahun Enam, Muhammad Hakimi Suhairi yang ditemui teruja kerana dapat kembil bertemu rakan selepas tiga bulan berada di rumah.

"Kami memang sentiasa diberikan peringatan tentang SOP terutama penjarakan sosial jadi rasanya tak ada masalah untuk dipatuhi.

"Saya harap rakan-rakan lain dapat mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan kita terus dijaga," katanya.

Muhammad Hakimi
Muhammad Hakimi

Dalam pada itu, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Azizul Kama Abdul Aziz turut mengambil inisiatif mengedarkan pelitup muka kepada murid sekolah berkenaan.

Katanya, sebanyak 500 keping pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan disumbangkan kepada pihak sekolah khusus untuk kegunaan murid dan guru.

"Kita harap lebih ramai dermawan yang dapat menyumbang peralatan ini kepada pihak sekolah kerana penggunaannya berterusan sepanjang sesi persekolahan.

Sebelum ini, pembukaan semula sesi persekolahan dimulakan untuk pelajar Tingkatan Lima dan Enam sebelum diikuti oleh murid prasekolah di seluruh negara.

Azizul Kama (kanan) menyerahkan sumbangan pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan kepada Noor Azman di perkarangan SK Jelapang hari ini.
Azizul Kama (kanan) menyerahkan sumbangan pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan kepada Noor Azman di perkarangan SK Jelapang hari ini.