10 peniaga dapat bekalan makanan sejuk beku Ramly dua bulan

Zulkifli (dua dari kiri) melihat Ahmad Shukri (kiri) memasak daging burger sewaktu Majlis Pelancaran Program Bangkit Khaira di Ramly Halal Kiosk di Axiata Arena Bukit Jalil semalam.
Zulkifli (dua dari kiri) melihat Ahmad Shukri (kiri) memasak daging burger sewaktu Majlis Pelancaran Program Bangkit Khaira di Ramly Halal Kiosk di Axiata Arena Bukit Jalil semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas wartawan meja jenayah sebuah akhbar tempatan antara 10 penerima bekalan makanan sejuk beku daripada Ramly Food Processing Sdn Bhd (Ramly) di bawah Program Bangkit Khaira Pusat Pungutan Zakat di sini semalam.

Program di bawah Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) itu sebagai inisiatif memberikan bantuan tambahan kepada peniaga kecil meneruskan perniagaan selepas terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Bekas wartawan, Basir Abu Bakar, 40, berkata, beliau mula berjinak dalam perniagaan dalam talian sejak syarikat penerbitan tempatnya bekerja menamatkan operasi tahun lepas.

Menurutnya, kesukaran mendapatkan pekerjaan menyebabkannya mula berniaga sementara menunggu tawaran pekerjaan yang lebih baik.

“Saya rasa lega dan terima kasih kepada PPZ-MAIWP dan rakan strategiknya yang menghulurkan bantuan ketika ramai hilang pekerjaan.

“Selepas berhenti kerja, saya ada cari pekerjaan baharu selain mula berniaga. Setakat ini saya berniaga secara dalam talian menjual produk makanan dan menyediakan khidmat katering jika ada tempahan,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Bangkit Khaira PPZ yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam.

Program yang diadakan di Ramly Halal Kiosk di Axiata Arena Bukit Jalil itu turut dihadiri Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Dr Ramly Mokni dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff.

Seorang lagi penerima, Mohd Affendy Azly, 29, berkata, beliau bersyukur dengan sumbangan kerana boleh meringankan bebannya memulakan perniagaan selepas hampir tiga bulan tidak boleh berniaga.

Artikel Berkaitan:

“Saya anggap ini rezeki selepas hadapi kesulitan tidak boleh berniaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Diharap bantuan stok bekalan selama dua bulan ini menjadi suntikan modal dan semangat untuk saya bangkit berniaga menyara keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Shukri menjelaskan, Program Bangkit Khaira akan dilaksanakan secara dua fasa selama lima bulan dengan fasa pertama melibatkan 500 peniaga kecil dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM500,000.

“Peniaga yang layak akan menerima bantuan fasiliti perniagaan mengikut kesesuaian jenis perniagaan termasuk bahan mentah dan peralatan perniagaan serta khidmat motivasi selain kelas pemasaran dalam talian selama dua bulan,” katanya.