X

Kindly register in order to view this article
!

Van jenazah percuma sekitar utara

Abd Hafiz bersama salah satu van jenazah yang diberikan perkhidmatan secara percuma oleh syarikatnya di sekitar negeri-negeri utara bermula semalam.
A
A

ALOR SETAR - Sebuah syarikat insurans menyediakan perkhidmatan dua van jenazah secara percuma sekitar utara bermula semalam bagi membantu meringankan beban ahli keluarga jika berlaku kematian.

Ketua Pegawai Eksekutif DFZ Agency Sdn Bhd, Abd Hafiz Abd Majid berkata, sebagai sebuah syarikat Bumiputera Islam, khidmat yang disediakan itu adalah tanggungjawab mereka membantu masyarakat terutama saudara seagama bagi memudahkan urusan pengebumian.

Menurutnya, idea untuk membantu tersebut timbul selepas melihat kekangan ahli keluarga yang terpaksa mencari van jenazah bagi kes yang melibatkan kematian di hospital yang jauh atau berada di luar kawasan.

"Apabila berlaku kematian ahli keluarga terutama kes membabitkan dari hospital luar negeri ataupun luar kawasan, jenazah yang hendak dibawa pulang ke tempat pengebumian atau di halaman sendiri mestilah dibawa menggunakan kenderaan jenazah. Saya lihat banyak aspek yang menjadi masalah kepada ahli keluarga terutama kekangan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

"Sebab itu kami tampil dengan usaha menyediakan perkhidmatan van percuma untuk membantu mereka yang sangat memerlukan khidmat ini. Buat permulaan fokus perkhidmatan van jenazah percuma ini adalah di sekitar kawasan negeri-negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Abd Hafiz berkata, banyak individu yang kehilangan mata pencarian semasa pandemik Covid-19 dan beliau berharap khidmat percuma itu mampu meringankan beban keluarga yang terkesan dengan masalah tersebut.

"Kami juga turut menyediakan peluang pekerjaan di dalam syarikat ini melalui 12 cawangan kami iaitu di Perlis (1), Kedah (5), Pulau Pinang (5) dan Perak (1) namun agak terhad. Kami harap melalui khidmat van percuma ini juga mampu membantu masyarakat terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini," katanya lagi.

Tambahnya, perkhidmatan ini diuruskan dan ditanggung oleh pengurusan DFZ Agency Sdn Bhd dan bagi yang mahu menggunakan perkhidmatan van jenazah percuma ini boleh hubungi 012-4079545 (Khairul).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus