‘Sudah sampai masa adakan PRU15’

Kerajaan pimpinan Muhyiddin perlu melakukan sesuatu untuk kekal stabil.
Kerajaan pimpinan Muhyiddin perlu melakukan sesuatu untuk kekal stabil.
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO menyifatkan situasi politik Malaysia pada hari ini semakin kelam-kabut bukan hanya dalam parti tetapi turut mengucar-kacirkan pentadbiran kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, istilah kelam-kabut itu diguna pakai selepas melihat bermulanya kekalahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diikuti naiknya Pakatan Harapan (PH), peletakan jawatan bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Akibat situasi itu, kita lihat kerajaan hari ini tidak stabil, tidak kukuh dan rapuh ibarat kata ‘seperti telur di hujung tanduk’.

“Semalam (kelmarin) pengguguran jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff, PN hanya mampu meraih 111 undi berbanding pembangkang dapat 109 undi.

“Majoriti hanya dua undi menunjukkan kerajaan sekarang tidak kuat dan itu akan menyusahkan Muhyiddin menerajui kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jumlah majoriti sokongan kerajaan di Dewan Rakyat memberi bayangan kepada Muhyiddin untuk mengadakan PRU15 pada bila-bila masa.

Menurutnya, kedudukan sokongan yang begitu tipis itu merupakan realiti kerajaan hari ini dan Perdana Menteri pastinya menyedari perkara tersebut.

“Soal kerapuhan ini akan berterusan. Saya yakin Perdana Menteri memikirkan keadaan ini, apakah ini masa sesuai memanggil PRU atau mungkin ada masa tertentu boleh ditetapkan untuk diadakan PRU.

Artikel Berkaitan:

Exco Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim dalam satu kenyataan juga senada menggesa kerajaan PN segera membubarkan Parlimen bagi memastikan semua urus tadbir negara dan dasar-dasar kerajaan dapat diputuskan dengan baik.

“Saya khuatir dan bimbang jika ada dalam kalangan menteri dan kepimpinan kerajaan PN pada hari ini tidak ikhlas bersama PN seolah- olah tubuh badan di PN tetapi pemikiran masih lagi cara PH.

“Jadi, adalah lebih baik jika kembalikan mandat kepada rakyat. Biar rakyat memilih, sekali gus membentuk kerajaan yang lebih stabil dan kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui, PN memerlukan mandat yang lebih kuat untuk jangka masa panjang.

“Kita perlu fokus pada pemulihan segera dan mempersiapkan belanjawan pada November dan RMK12 pada Januari tetapi dalam jangka masa panjang memerlukan mandat yang lebih kuat,” katanya pada sidang media di Parlimen semalam.

Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan keperluan untuk pemulihan ekonomi sebelum mempertimbangkan mengadakan pilihan raya.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan, PRU15 dalam masa terdekat hanya akan menambahkan beban kepada negara dan rakyat yang kini dalam tempoh pemulihan ekonomi.

Katanya, meskipun mendapat majoriti kecil di Dewan Rakyat dalam isu pelantikan Speaker baharu, beliau tidak melihat ia sebagai satu desakan untuk PRU15 segera diadakan.

Bahkan, katanya, semua pihak termasuk pembangkang dilihat berhati-hati apabila masing-masing cuba mengelak PRU diadakan segera.

“Walaupun majoriti kecil, kerajaan dan pembangkang melihat bahawa keutamaan bukan segerakan PRU tapi menstabilkan dahulu negara,” katanya.