‘Bubar Parlimen penyelesaian terbaik’

No Image Caption
A
A
A

PEMBUBARAN Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dilihat sebagai penyelesaian terbaik kepada ketidakstabilan politik di Malaysia kini.

Penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, Perikatan Nasional (PN) bukanlah kerajaan yang kuat ketika ini kerana memperoleh sokongan majoriti yang tipis di Dewan Rakyat.“Oleh kerana majoriti tipis di Parlimen, maka kerajaan harus memikirkan untuk bubar Parlimen tapi bukan dalam masa terdekat kerana kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Jadi saya jangka kerajaan akan membubarkan Parlimen sama ada pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Syed Agil turut menjangkakan tidak ada hal-hal penting atau kritikal yang akan dibahaskan dalam Parlimen bagi mendapatkan persetujuan majoriti kecuali Rang Undang-Undang Pembekalan.“Isu pembekalan yang saya maksudkan ialah mengenai insentif (daripada) kerajaan berhubung kesan koronavirus (Covid-19).

“Saya jangka isu itu mendapat sokongan majoriti daripada ahli Parlimen kerana ia isu berkepentingan umum dan sudah pasti pembangkang pun menyokong,” katanya.Namun, katanya, mungkin ada juga ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan dari segi pelaksanaan dan pihak yang memperoleh manfaat tersebut.

Beliau juga menjangkakan Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) diusulkan oleh kerajaan sama ada akan dibuat pada hujung tahun atau awal tahun depan.

“Faktor itu juga akan mempengaruhi bila PRU wajar diadakan selagi tidak ada isu-isu kritikal sebelum belanjawan itu diadakan,” katanya.

Senada dengan Syed Agil ialah penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Marthada yang berpendapat bahawa tiada jalan lain lagi melainkan melalui PRU15 kerana itu sahaja mampu merungkai segala kemelut yang ada.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pembubaran Parlimen juga akan memastikan tiada lagi cubaan-cubaan terutamanya yang mengatakan kerajaan tidak sah, kerajaan pintu belakang dan sebagainya.

“Bagi saya, itu ialah kaedah penyelesaian terbaik walaupun dalam keadaan ekonomi tidak berapa kukuh serta memberi kesan kepada kedudukan kewangan kerajaan.“Demi kestabilan politik dan negara, ia yang terbaik berbanding membuat pelarasan kerajaan atau menukar Perdana Menteri,” katanya.

Tegasnya, jika mengguna pakai kaedah pelarasan semula kerajaan atau menukar Perdana Menteri tanpa melalui PRU, masalah yang ada tetap tidak akan selesai.

“Kita lihat ada banyak usaha untuk gagalkan dasar-dasar kerajaan dan kumpulan pembangkang juga terus memberi tekanan, jadi tiada jalan lain melainkan mengadakan PRU15 tetapi pada waktu yang sesuai,” katanya sambil menjangka PRU15 diadakan pada hujung tahun ini atau tahun hadapan.