Membina perniagaan di sebalik peperangan di Libya

Perniagaan kecil menerima tamparan hebat selepas Libya dilanda peperangan pada tahun 2011. - Foto AFP
Perniagaan kecil menerima tamparan hebat selepas Libya dilanda peperangan pada tahun 2011. - Foto AFP
A
A
A

SEORANG ahli perniagaan Libya, Mahmud al-Sharkassi meninjau kemusnahan kilangnya di pinggir bandar raya Tripoli yang dilanda peperangan tetapi diganggu perasaan tawar hati. Namun Mahmud berazam untuk kembali semula memulakan tugas.

"Ini sepatutnya menjadi jantung projek saya. Semuanya bermula dari sini," katanya sambil melihat bangunan yang musnah. Bangunan itu pernah digunakannya untuk menyimpan kabinet dapur sebelum diedarkan ke bilik pameran.

Daerah Ain Zara di selatan pinggir Tripoli iaitu lokasi kilang tersebut menjadi tempat pertempuran pada April tahun lepas ketika pasukan tentera Khalifa Haftar berpangkalan di timur negara itu cuba untuk menawan ibu kota tersebut daripada pentadbiran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, musuh-musuh Khalifa yang merupakan komander Tentera Kebangsaan Libya melancarkan satu serangan balas dan mengusir askar-askarnya pada awal tahun ini.

Yang pasti, peperangan telah memusnahkan zon industri dan kawasan kediaman penduduk di Tripoli.

Pertempuran itu merupakan tamparan terbaru perniagaan kecil di Libya yang terjerumus ke kancah keganasan selepas kebangkitan penduduk yang disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada tahun 2011 sehingga menumbangkan dan membunuh diktator veteran, Muammar Gaddafi.

Selepas Gadaffi mengambil alih kuasa dalam satu rampasan kuasa pada tahun 1969, dia menghapuskan sektor swasta, sekolah, kilang, perniagaan, perpustakaan dan hotel serta menggantikannya dengan perusahaan hak milik negara.

Ia mewariskan negara yang bergantung dengan minyak itu dengan bilangan besar sektor awam iaitu dua juta kakitangan awam berbanding penduduk berjumlah 6.6 juta orang, gaji mereka mewakili 59 peratus daripada bajet negara, menurut Bank Pusat.

Artikel Berkaitan:

Kejatuhan Gadaafi menyebabkan kemunculan golongan ahli perniagaan muda dan bersemangat yang meneruskan bidang tersebut walaupun cabaran besar dihadapi negara Afrika Utara itu.

Mahmud percaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menjadi sektor untuk pembangunan dengan menyediakan kepelbagaian ekonomi jauh daripada kebergantungan terhadap pendapatan minyak dan menggalakkan perusahaan sendiri.

"Terdapat peluang (perniagaan)," katanya.

Muammar Gaddafi menjadi pemimpin Libya melalui rampasan kuasa sebelum dijatuhkan oleh rakyatnya pada tahun 2011. - Foto AFP
Muammar Gaddafi menjadi pemimpin Libya melalui rampasan kuasa sebelum dijatuhkan oleh rakyatnya pada tahun 2011. - Foto AFP

Nessrine Gaddah daripada agensi Expertise France iaitu sebuah perbadanan teknikal antarabangsa Perancis turut bersetuju.

"Minda pemikiran golongan muda telah berubah. Kini ramai menyedari bahawa masa depan terletak pada sektor swasta bukan lagi pada sektor kerajaan," katanya kepada AFP.

Bagaimanapun, cabaran yang dihadapi masih kompleks.

"Banyak perkara yang perlu dilakukan. Terdapat banyak cabaran yang telah membuatkan kebanyakan PKS Libya terlalu lemah dan kadangkala tidak bertahan (termasuk) akses bahagian kewangan.

"Malah, proses pendaftaran sebuah syarikat menyakitkan, mahal dan lama," katanya.

Marwan Boueshi iaitu seorang pekerja dalam industri besi yang mana bengkelnya musnah dalam pertempuran di Tripoli menggesa kerajaan memperkenalkan perubahan struktural, memulihkan kestabilan dan menunjukkan ia mampu memerangi rasuah.

"Rasuah sudah menjadi perkara biasa yang membimbangkan. Jika anda tidak korup, anda dilihat tidak bijak sepenuhnya untuk melakukan perniagaan," katanya yang berusia 47 tahun.

Lima tahun lalu, pertempuran antara kumpulan militia yang bermusuhan telah menyebabkan Walid Fathi menutup syarikat pengiklanan dan penerbitan beribu pejabat di Tripoli selain terpaksa meninggalkan negara itu.

"Bermula daripada peperangan yang pertama sehingga seterusnya, syarikat kami tidak dapat bertahan," katanya yang berumur 45 tahun kepada AFP.

Keluarganya membina syarikat tersebut pada tahun 2006 dan ia berjaya, tambahnya.

Bagaimanapun, kejayaan itu tidak berbaloi dengan risiko keselamatan dan nasib puluhan pekerjanya.

"Situasi menjadi tidak tertanggung sehingga pada akhirnya pada Mac 2015 kami perlu menutup (syarikat), menjual mesin, menghentikan pekerja dan meninggalkan Libya untuk keselamatan kami," tambahnya kepada AFP ketika kembali dalam satu kunjungan ke tanah air.

Stor syarikat itu diserbu berulang kali dan mesin pencetak bernilai AS$170,000 (RM726,070), kertas dan ink yang diimport dari Jerman dicuri.

Gambar fail menunjukkan sebuah kilang penapis minyak di bandar Ras Lanus, Libya. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah kilang penapis minyak di bandar Ras Lanus, Libya. - Foto AFP

Sementara itu, sebahagian pelanggan masih tidak membayar bil sejak tahun 2012.

Walid yang berusia 45 tahun seperti Marwan mahu memulakan perniagaan semula.

"Tujuan perniagaan keluarga adalah mencipta sesuatu di dalan negara dan untuk negara," kata Walid.

"Saya mahu pulang semula walaupun jika saya dipaksa untuk bekerja tanpa margin keuntungan yang baik. Saya perlu berada di sini," ujarnya.

Kini dia mendekati komuniti perniagaan Tripoli dengan mengedarkan kad perniagaan kepada pelanggan yang berpotensi dan berharap satu permulaan baru akan berlaku.

Mahmud yang berdiri di bilik pameran kilangnya turut menyuarakan keyakinan walaupun terdapat cabaran menyakitkan.

"Meskipun kemusnahan, kami akan kembali untuk bekerja dengan segera," katanya. - AFP