Mana hilangnya adab perbahasan di Parlimen?

No Image Caption
A
A
A

KELMARIN hari pertama Sidang Dewan Rakyat membuka tirai untuk perbahasan. Selepas lebih enam bulan ‘berehat’, tarikh 13 Julai memang menjadi tanggal yang dinanti-nanti 222 ahli Parlimen untuk merencanakan kembali hala tuju negara selepas teruk dibadai Covid-19.

Sememangnya banyak yang istimewa dalam persidangan kelmarin.

Selain kali pertama perbahasan di bawah kerajaan Perikatan Nasional, blok Pakatan Harapan pula kembali ke tempat pembangkang, tetapi majoriti yang membezakan kedua-dua blok amatlah tipis. Paling tipis dalam sejarah negara.

Namun, di sebalik keterujaan rakyat Malaysia untuk melihat wakil-wakil rakyat berbahas mengenai dasar, perbelanjaan dan undang-undang negara, apa yang terjadi di Dewan Rakyat kelmarin amatlah menyedihkan.

Dengan majoriti tipis memang sudah dijangka, suhu perdebatan Dewan Rakyat semakin memuncak. Namun begitu, melihat tingkah laku dan adab segelintir ahli Parlimen baik di blok kerajaan dan blok pembangkang yang terjerit, terpekik dan terlolong, ia seolah-olah meragut kemuliaan institusi Parlimen yang sepatutnya dihormati dan disanjungi.

Masing-masing mahu berebut bercakap, mahu meninggi suara dan saling mengejek. Lebih dukacita ada juga tanpa rasa segan silu mengaibkan ahli Parlimen lain dengan bahasa kesat.

Kejadian-kejadian seperti itu tidak seharusnya berlaku kerana perbahasan ahli Parlimen ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia tidak kecuali generasi muda yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara.

Mungkin ada ahli Parlimen yang perlu malu dengan anak muda yang menyertai Parlimen Digital baru-baru ini. Walaupun mereka bukanlah wakil rakyat sebenar, tetapi mereka sehabis baik membahaskan isu dan masalah rakyat.

Artikel Berkaitan:

Tetapi lain pula kisahnya dengan wakil-wakil rakyat sebenar. Masing-masing sibuk berpolitik dan menjerit seperti di pasar borong.

Perbahasan di Parlimen memang sepatutnya tegas dan berani tetapi biarlah dengan tinggi adab orang timur. Sudah masanya ketua semua parti mengadakan perbincangan mengenai bagaimana masing-masing dapat melakukan yang lebih baik di Parlimen.