Bapa lempang cikgu PJ didakwa di mahkamah

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, hari ini.
A
A

NOR FARHANA YAACOB

MELAKA TENGAH - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Ayer Keroh di sini, hari ini atas atas pertuduhan menyebabkan kecederaan seorang guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, tahun lalu.

Bagaimanapun, Kamarul Ariffin Suboh, 44, yang juga bapa kepada lima orang anak mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Muhammad Nazri Ali Rahim selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja di kedai perkakas logam didakwa dengan sengaja menampar pipi kiri Muhammad Fakharuddin Azahar, 27, sebanyak dua kali kira-kira jam 3 petang di tepi Padang 10 Krubong pada 26 April tahun lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh selepas tidak berpuas hati dengan mangsa yang memarahi dan menyuruh anak ketiganya berusia 15 tahun pulang ke rumah daripada menyertai perlawanan bola sepak kerana remaja itu didapati membeli ayam potong.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM8,000 namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberikan jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan mempunyai tanggungan anak yang ramai.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Mac ini.