Covid-19: Thailand perketat kemasukan warga asing

Thailand melaporkan tujuh kes baharu Covid-19, semuanya melibatkan warga Thailand yang baru pulang dari luar negara, dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam.
Thailand melaporkan tujuh kes baharu Covid-19, semuanya melibatkan warga Thailand yang baru pulang dari luar negara, dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam.
A
A
A

BANGKOK - Thailand akan mengetatkan lagi peraturan bagi warga asing yang ingin memasuki negara itu, selepas dua kes import jangkitan Covid-19 yang dikesan membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan kemunculan gelombang baru jangkitan.

Kebimbangan mulai terasa selepas seorang petugas tentera Mesir berumur 45 tahun dan seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun yang merupakan anggota keluarga diplomat Sudan, disahkan positif Covid-19 minggu lepas.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Keadaan Covid-19 Thailand (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, semua diplomat dan anggota keluarga mereka yang sebelum ini dibenarkan menjalani tempoh kuarantin kendiri selama 14 hari di kediaman masing-masing, kini dikehendaki menjalani tempoh kuarantin di kemudahan yang disediakan kerajaan atau kuarantin alternatif (bayaran sendiri di hotel).

“CCSA mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden itu. Banyak perkara yang kita terlepas pandang. Ini adalah pengajaran yang penting,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Sementara itu Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha yang juga ketua CCSA berkata, insiden itu tidak seharusnya berlaku dan beliau memohon maaf kepada orang ramai.

“Saya mohon maaf kepada orang ramai. Perkara ini tidak seharusnya berlaku, siasatan menyeluruh akan dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di sini hari ini.

Semalam CCSA berkata, seorang daripada 31 petugas tentera yang dalam penerbangan pulang dari Chengdu China yang singgah di wilayah Rayong pada 8 Julai, disahkan positif Covid-19.

Mereka dikatakan telah dibenarkan meninggalkan kawasan kemudahan kuarantin dan berkeliaran sekitar pusat beli-belah di kawasan itu, sehingga mengakibatkan kini ratusan penduduk tempatan yang berada di kawasan berkenaan di Rayong dikehendaki menjalani kuarantin di rumah.

Artikel Berkaitan:

Selain itu hotel di Rayong tempat penginapan para petugas itu juga ditutup selama dua minggu, dan sekurang-kurangnya 10 sekolah di wilayah Rayong ditutup mulai hari ini sehingga 17 Julai.

Sementara itu Thailand melaporkan tujuh kes baharu Covid-19, semuanya melibatkan warga Thailand yang baru pulang dari luar negara, dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kini menjangkau 3,227 kes dengan 58 kematian.

Enam daripada tujuh kes itu melibatkan pelajar lelaki Thailand yang baru pulang dari Mesir, dan satu melibatkan seorang wanita yang baru pulang dari Amerika Syarikat.

Hari ini genap 50 hari berturut-turut menyaksikan tiada penularan jangkitan tempatan di Thailand.- Bernama