X

Kindly register in order to view this article
!

Pertahanan era Mahathir

A
A

MINGGU lalu, genap 95 tahun usia bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam konteks pembangunan pertahanan negara, beliau telah memainkan peranan yang besar khususnya semasa tempoh 22 tahun mentadbir sebagai Perdana Menteri pada 1981 sehingga 2003.

Boleh dikatakan pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilihat pada hari ini bertitik tolak daripada visi diasaskan pada masa pentadbiran beliau. Dr Mahathir juga merupakan Menteri Pertahanan antara tahun 1981 hingga 1986.

Seramai lapan jeneral dilantik menerajui ATM sepanjang tempoh pentadbiran Dr Mahathir termasuklah Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali iaitu pada tahun 1987 sehingga 1992 yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan beliau.

Mohamed Hashim ialah penandatangan Perjanjian Hatyai pada Disember 1989 bagi pihak kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tugasnya sebagai Panglima ATM.

Kesan daripada Perang Indo-China menyaksikan kerajaan pada tahun 70-an telah merangka pelan pemodenan dikenali sebagai Program Istimewa Angkatan Tentera (Perista) untuk menjadikan ATM sebagai sebuah angkatan konvensional.

Lanjutan daripada program tersebut, Kementerian Pertahanan telah mengkaji untuk membeli kelengka-pan yang lebih moden seperti kapal selam, sistem artileri jarak sederhana, kenderaan armor, pesawat pejuang dan lebih banyak kapal perang.

Program angkatan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) misalnya, hampir dilaksanakan lebih awal apabila kerajaan pada tahun 1988 mengumumkan rancangan untuk membeli kapal selam terpakai kelas Oberon daripada Britain.

Pembelian itu adalah sebahagian daripada pakej bernilai kira-kira 1 bilion pound melibatkan pelbagai aset-aset tempur termoden masa itu termasuk frigat, pesawat penyerang Tornado, pesawat latihan Hawk 100/200, meriam FH-70 155mm dan sistem pertahanan udara aras rendah Starburst.

Ia juga bukan satu program pembelian biasa, sebaliknya perolehan tersebut telah merapatkan kembali hubungan Malaysia-Britain yang sebelum itu renggang berikutan dasar Buy British Last. Namun, projek kapal selam itu dibatalkan termasuk pembelian Tornado.

Dr Mahathir juga telah mengubah trend perolehan ketenteraan negara apabila bersetuju membeli sebanyak 18 pesawat pejuang MiG-29N buatan Rusia dan pada masa yang sama, lapan pesawat F/A-18D Hornet buatan Amerika Syarikat.

Strategik

Perolehan dari negara-negara bukan tradisi itu diteruskan lagi dengan Poland iaitu kereta kebal PT-91M, Brazil, selain India dan Pakistan.

Perlu diketahui, satu langkah cukup strategik yang diambil oleh Dr Mahathir ialah apabila menubuhkan Briged Payung Terjun iaitu 10 Briged Para sebagai Pasukan Aturgerak Cepat (PAC).

Briged tersebut dirasmikan pada 10 Oktober 1994 di Langkawi, Kedah. Buat pertama kali mereka mempamerkan keupayaan simulasi menawan pulau lagenda itu pada Eksesais Halilintar.

Pada pentas antarabangsa pula, sepanjang tahun 1998 hingga 2003, Malaysia telah menyertai sebanyak 29 misi pengaman dengan Pertubu-han Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melibatkan seramai 18,000 anggota tentera termasuk polis.

Penglibatan paling aktif adalah antara tahun 1992 hingga 1996 apabila kira-kira 2,500 anggota pengaman Malaysia bertugas di bawah PBB di Kemboja, Bosnia dan Somalia.

Sepanjang tempoh tersebut, Dr Malaysia disenaraikan sebagai antara 10 negara penyumbang utama dalam misi PBB.

Pada September 1996, Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan PBB untuk bersetuju menyedia-kan sumber manusia kepada misi pengaman badan dunia itu pada sebilang masa. Bertitik tolak daripada itu jugalah, Pusat Latihan Pengaman Malaysia di Port Dickson, Negeri Sembilan diwujudkan.

*Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!