Agong berkenan buat lawatan mengejut mangsa banjir di Lipis

Al-Sultan Abdullah berkenan beramah-mesra dengan mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Chegar Perah hari ini. Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan beramah-mesra dengan mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Chegar Perah hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan, mencemar duli mengadakan lawatan mengejut kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Chegar Perah, Lipis kira-kira 278 kilometer dari sini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan media di sini hari ini berkata, Seri Paduka berangkat tiba di sekolah itu pada 3.45 petang dan berkenan meluangkan masa selama hampir 45 minit, untuk menyantuni 265 mangsa banjir yang berada di situ.

“Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa beramah mesra dan berinteraksi dengan mangsa banjir, selain turut mengurniakan sumbangan wang tunai kepada mereka, bagi meringankan beban yang ditanggung selepas rumah mereka dilanda banjir, sejak semalam.

“Keberangkatan mengejut Al-Sultan Abdullah mencerminkan keprihatinan tinggi baginda terhadap mangsa banjir dan golongan yang memerlukan bantuan. Ia juga mencerminkan keperibadian tinggi Seri Paduka menyantuni mangsa banjir terlibat,” katanya.

Turut hadir mengiringi Al-Sultan Abdullah ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak, Pegawai Daerah Lipis Datuk Mohd Hafizi Ibrahim dan Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Datuk Ahmad Hairi Hussin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pusat pemindahan sementara di sekolah itu mula beroperasi pada 9 malam semalam (Isnin), selepas banjir kilat berlaku ekoran hujan yang berterusan, sehingga hampir sembilan jam.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: