Jual air ke Pulau Pinang belum muktamad: Exco Perak

Mohd Zolkafly (kanan) bersama agensi terlibat meninjau kemajuan projek Pusat Pembangunan Bersepadu Orang Asli Bawong di sini hari ini.
Mohd Zolkafly (kanan) bersama agensi terlibat meninjau kemajuan projek Pusat Pembangunan Bersepadu Orang Asli Bawong di sini hari ini.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kerajaan Perak belum memuktamadkan sebarang keputusan penjualan air terawat ke Pulau Pinang.

Exco Infrastruktur Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkara itu masih lagi di peringkat kajian sebelum keputusan muktamad dibuat.

Menurutnya, perbincangan dengan kerajaan Pulau Pinang juga masih diteruskan dan tiada sebarang tempoh ditetapkan mengenai rundingan tersebut.

"Sebenarnya perkara ini masih di peringkat kajian mencari kesesuaian kerana punca air ini akan diambil dari Sungai Perak, Sungai Kerian dan sebagainya. Kalau kita nak jual pun kita jual air bersih iaitu air yang telah dirawat kepada negeri-negeri lain bukan air belum dirawat.

"Kerajaan Pulau Pinang mungkin ada cadangan lain kerana mungkin tak bersetuju dengan terma-terma dikemukakan kerajaan Perak. Jadi inilah perkara-perkara yang berkaitan dengan penjualan air itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek pembinaan Pusat Pembangunan Bersepadu Orang Asli Bawong, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu berkenaan yang dibangkitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika sesi sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri memang mempunyai hasrat menjual air terawat ke negeri-negeri lain tetapi masih melihat kesan negatif dan positif terhadap tindakan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu berkata, pembinaan Pusat Pembangunan Bersepadu Orang Asli Bawong atau dahulu dikenali sebagai Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Orang Asli itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek yang menelan belanja lebih RM30 juta itu dijangka siap selewat-lewatnya pada bulan Oktober nanti yang memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk sekitar.

Menurutnya, kawasan seluas lapan hektar itu akan menempatkan Dewan Orang Asli, blok petadbiran, pejabat Lembaga Koko Malaysia, blok pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), terminal bas dan teksi serta pondok polis.

Menerusi jawapan yang diberikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam Parlimen hari ini, isu penjualan air belum dapat diselesaikan memandangkan kerajaan Pulau Pinang mahu membeli air mentah daripada kerajaan Perak manakala kerajaan Perak hanya akan menjual air terawat kepada Pulau Pinang.