910 mangsa banjir Johor ditempatkan di 13 PPS

Anggota bomba membantu mangsa banjir untuk ditempatkan di PPS selepas kawasan mereka di beberapa kawasan di Muar ditenggelami banjir pada hari ini.
Anggota bomba membantu mangsa banjir untuk ditempatkan di PPS selepas kawasan mereka di beberapa kawasan di Muar ditenggelami banjir pada hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor menurun sedikit kepada 910 orang daripada 236 keluarga setakat jam 4 petang ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, mangsa banjir dari empat daerah itu ditempatkan di 13 buah pusat pemindahan sementara (PPS).

"Mangsa banjir paling ramai adalah di Muar melibatkan 682 mangsa daripada 179 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani; SMK Dato' Seri Amar Diraja dan SMK Tengku Mahkota.

"Ini termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya; SK Ismail 1 dan SK Parit Raja manakala sebuah PPS iaitu di SMK Sungai Abong ditutup pada jam 12.30 tengah hari tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, daerah kedua terjejas adalah di Pontian dengan 146 mangsa daripada 43 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di SK Penerok dan SK Sungai Durian manakala PPS di SK Belokok ditutup jam 2 petang tadi.

Di Tangkak pula katanya, seramai 67 mangsa banjir melibatkan 10 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu SK Parit Bungan dan SK Tanjung Gading 5 manakala PPS di Dewan Serbaguna Penghulu Long ditutup pada jam 4 petang tadi.

Beliau memberitahu, di Batu Pahat keadaan semakin pulih apabila hanya 15 mangsa banjir melibatkan empat keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Seri Sampurna.

Secara keseluruhan katanya, terdapat penurunan data mangsa serta keluarga di semua PPS di Johor dan keadaan paras air di beberapa kawasan yang dinaiki air mulai surut secara perlahan.

Artikel Berkaitan:

Vidyananthan berkata, pemantauan berterusan di kawasan berisiko banjir dilaksanakan jabatan dan agensi penguat kuasa yang berkenaan.

Sementara pengurusan pusat-pusat pemindahan dikawal selia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).