Moratorium bayaran balik pinjaman berjumlah RM55.2 bilion

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang dilaksanakan di bawah Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bermula sejak 1 April, 2020, berjumlah RM55.2 bilion setakat 13 Julai 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM19.3 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala RM35.9 bilion dimanfaatkan oleh rakyat.

Menurutnya, tujuan moratorium, iaitu matlamat Prihatin ketiga (untuk memperkukuh ekonomi), adalah untuk memberikan kelegaan bagi rakyat dan perniagaan yang memerlukan dalam jangka masa enam bulan.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga melaksanakan langkah-langkah untuk menjana pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.

“Antara usaha-usaha ini termasuklah menyokong perniagaan dari segi mengekalkan pekerjaan melalui Program Subsidi Upah (di bawah Pelan PRIHATIN dan PRIHATIN PKS+) dan Program Subsidi Upah yang ditambah baik (di bawah Pelan Penjana),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, di bawah pelan Penjana, kerajaan juga memberi insentif bagi pengambilan pekerja dan bantuan latihan serta insentif peningkatan kemahiran untuk belia dan penganggur agar nasib mereka terbela sekurang-kurangnya selama tiga bulan dan kekal berdaya saing apabila pasaran pekerjaan kembali rancak.

Manakala bagi yang masih terkesan mereka disarankan untuk segera berbincang dengan institusi bank masing-masing atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Menurutnya, bank-bank juga sedang proaktif menghubungi peminjam secara bersasar untuk menawarkan khidmat nasihat bagi bantuan bayaran balik. - Bernama

Artikel Berkaitan: