X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Pembukaan sempadan rancakkan sektor ekonomi Johor

Hasni Mohammad
A
A

JOHOR BAHRU - Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura merupakan satu permulaan bagi usaha merancakkan semula sektor ekonomi di Johor yang amat terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri sudah sedia terhadap pematuhan semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita juga akan membantu memudahkan semua urusan supaya pembukaan sempadan ini dapat memberi manfaat kepada warga kedua-dua negara.

"Perkara ini amat penting dalam usaha kedua-dua negara memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung sebaik mungkin demi kesihatan dan keselamatan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hari ini Malaysia dan Singapura bersetuju membenarkan rentas sempadan secara bersyarat menerusi inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Kedua-dua inisiatif itu akan dilaksanakan pada 10 Ogos ini melibatkan urusan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara serta pemegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan.

Keputusan tersebut diumumkan menerusi satu kenyataan bersama-sama melibatkan Menteri Luar kedua-dua negara, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Dr Vivian Balakrishnan.

Hasni berkata, pembukaan sempadan melegakan banyak pihak kerana dapat meneruskan urusan perniagaan dan kerja masing-masing yang terjejas sejak Mac lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pemutus Litar dikuatkuasakan.

"Tahniah kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawat beliau dari Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan kerana mencapai persetujuan bagi kedua-dua negara melaksanakan inisiatif RGL dan PCA yang bermula 10 Ogos 2020.

"Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Johor mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan tersebut bagi memenuhi keperluan para pekerja yang berulang-alik antara kedua-dua negara," katanya.

Tambah beliau, keputusan tersebut amat dinanti-nantikan oleh ramai warga kedua-dua negara dan amat tepat pada masanya.

Menurutnya lagi, Singapura merupakan rakan strategik yang penting bagi Malaysia khususnya Johor dalam bidang ekonomi, sosial dan lain-lain.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus