X

Kindly register in order to view this article
!

Perak tiada masalah bermula September

Durakovic memantau sesi latihan pemain Perak di Stadium Perak.
A
A

KETUA jurulatih Perak, Mehmet Durakovic tidak melihat sebarang masalah sekiranya saingan Liga Malaysia (Liga-M) kembali bersambung pada September walaupun pihak kerajaan telah memberi lampu hijau seawal 15 Ogos depan.

Katanya, perkara paling dititikberatkan adalah tahap kecergasan setiap pemain yang perlu berada di tahap terbaik sebelum memulakan perlawanan sebenar kerana dia tidak mahu pemainnya terdedah risiko kecederaan.

“Tiada masalah untuk pasukan kerana tempoh persediaan terutamanya latihan secara sentuhan badan dapat dilakukan lebih lama dengan lebih rapi sekiranya saingan bersambung pada September.

“Bagaimanapun semuanya terserah kepada MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan tetap positif sekiranya Liga-M berlangsung pada bulan depan di mana kedua-dua pilihan itu tetap yang terbaik untuk semua pasukan.

“Sekarang ini kita mempunyai masa mengumpulkan semua pemain pada satu masa, dan sama ada kita bermula lebih awal atau September sekalipun tiada satu pasukan pun yang akan rasa apa-apa kelebihan kerana kita semua dalam situasi sama.

“Jadi semua akan merasa benda yang sama di mana kalau daripada segi tempoh masa latihan yang lama semua pasukan akan merasa perkara itu, jadi tiada masalah pun. Kalau bermula pada Ogos, mungkin kebaikannya daripada aspek lain pula kedua-duanya tetap pilihan yang positif untuk pasukan,” katanya.

Semua pasukan dibenarkan menjalani latihan secara sentuhan badan bermula Rabu tetapi masih perlu mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Tegas Durakovic, dia akan memastikan pemain-pemain Perak dalam keadaan terbaik sebaik memulakan latihan Fasa 2 dengan perlu lebih berhati-hati bagi elakkan sebarang kecederaan.

“Saya memang tidak sabar untuk melihat semua pemain berkumpul kerana ketika ini sesi latihan agak terhad apabila perlu dibahagikan dengan beberapa kumpulan.

“Saya amat berpuas hati dengan kecergasan yang ditampilkan pemain setakat ini kerana tiada kecederaan antara mereka, dan selepas ini perlu bekerja lebih keras dalam latihan untuk dapatkan balik momentum perlawanan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus